Sunday, February 10

Syariah bantu aspek perundangan: Paderi


Rowan Williams

Ketua gereja England perjelas sokongan undang-undang Islam

LONDON: Ketua paderi Canterbury menjelaskan bahawa beliau tidak pernah mencadangkan agar undang-undang Islam dikuatkuasakan di Britain, sebaliknya menegaskan beberapa garis panduan agama berkenaan dapat disesuaikan dengan mudah dalam sistem perundangan British sedia ada.

Pemimpin paling kanan Gereja England, Rowan William dalam satu temu ramah yang disiarkan Khamis lalu berkata, beberapa aspek dalam garis panduan Islam boleh dilaksanakan dalam sistem perundangan British dan bersetuju dengan hakikat bahawa perkara ini memang tidak dapat dielakkan.

Williams mengaku wujudnya bantahan hebat media dan orang ramai tetap menegaskan dalam pesanan di laman webnya, beliau tidak pernah berniat untuk mencadangkan sistem perundangan Islam dikuatkuasakan di Britain.

Beliau berkata, tujuannya adalah untuk menyelesaikan beberapa isu membabitkan hak kumpulan agama di dalam negara sekular dan menggunakan undang-undang Syariah sebagai contoh.

Kenyataan Williams menimbulkan kemarahan media Britain yang menganggap beliau menyokong undang-undang Syariah, sebaliknya disambut baik umat Islam di negara itu.

Ahli politik dan pengamal undang-undang Britain mengecam kenyataan William, manakala sebuah akhbar tabloid menyiarkan gambar mereka yang dihukum pancung dan mangsa yang maut akibat pengeboman bunuh diri.

Dalam ruangan pojok, akhbar The Sun menyifatkan William sebagai ‘ancaman berbahaya kepada negara kita’ dan berkata, pengganas akan melihat kenyataan beliau sebagai isyarat membenarkan tindakan mereka.

Bagaimanapun, sekumpulan umat Islam British dalam nada lebih lembut berkata, Islamofobia menjadi punca mereka tidak disenangi di tanah air sendiri.

“Reaksi bagaikan kejadian histeria. Orang ramai yang mendengar perkataan Syariah segera terbayang tindakan memenggal kepala dilakukan Taliban. Mereka seolah-olah beranggapan orang Islam dari luar akan datang dan menguatkuasakan undang-undang Islam di Britain,” kata jurucakap Jawatankuasa Hal-Ehwal Islam Britain, Catherine Heseltinem

Beliau berkata, hakikatnya apa yang dinyatakan William bukanlah keutamaan bagi penduduk Islam di negara itu kerana bagi penduduk Islam Britain, undang-undang Syariah hanya dikaitkan dengan persoalan bagaimana daging halal disediakan dan bagaimana perkahwinan umat Islam dilaksanakan.

“Persoalan yang berlaku sebenarnya kecil saja. Sebagai contoh, upacara perkahwinan yang dilaksanakan di gereja England diiktiraf sebagai sah, manakala pasangan Islam yang dinikahkan imam terpaksa mendaftarkan perkahwinan mereka kepada pihak berkuasa untuk disahkan.

“Penduduk Islam terus berkembang di Britain tanpa diperkenalkan kepada undang-undang Syariah. Kami adalah rakyat Britain dan menghormati undang-undang negara. Kami juga mahu orang lain memahami perkara ini dan tidak perlu bimbang,” katanya. - AP

No comments: