Wednesday, November 18

Bagi hati yang diserang ragu..

Kereta dipecut dengan semahu-mahu hati.. Hajatnya, biarlah sampai sebelum subuh menjelma.. Sempat nak tidur barang seketika. Tidur sahaja yang dipingin, apa punya kehendak manusia.. Aduh, saya mengenakan diri sendiri!

Saya menjeling jam versi perak ‘tak jadi’ yang dililit pada pangkal tangan.. Oh, rupanya sudah pukul 3 pagi. Masih jauh destinasi yang dituju tapi peliknya mata bersinar terang.. Teman di sebelah memerhati jalan yang balam dengan seribu diam dan membisu.. Melayan perasaan barangkali.

Saya mati dalam kesepian..

“Apa pendapat.. Wajarkah seseorang memutuskan PERTUNANGAN, setelah orang yang ditunggu-tunggu selama lima tahun akhirnya memberikan satu jawaban—Ya, akhirnya saya terima awak..”—Lokus. Ini sebenarnya soalan yang membunuh saya malam itu..

-Hargailah kurnia pertunangan kerana tidak semua orang berpeluang merasainya-

Saya kira ini bicara dan getusan hati.. Yang bersebab dan penuh sebab. Hanya empunya diri yang faham situasi sebenar. Tapi, faham tidak semestinya pasti akan jawaban sebenar.. Itu sebab soalan ini diaju kepada saya.. Agar ada cadangan ‘pencerahan’..

Sekurang-kurangnya boleh menenangkan jiwa yang berkecamuk.

Mintalah fatwa akal dan hati..

Bagi saya, sebelum kita membuat keputusan besar dalam hidup.. Dua benda dalam diri yang patut kita minta fatwanya.. AKAL dan HATI.

AKAL, tempat duduk fikiran yang waras.. Akal manusia yang beriman akan berguru dengan Tuhan secara terus melalui wahyu.. Kalam yang disampaikan oleh baginda Nabi SAW. Maka, kebenaran yang dipegang oleh akal adalah kebenaran MUTLAK. Manusia selalunya berkongsi kebenaran yang sama..

HATI, tempat duduk perasaan yang sukar difahami.. Setiap manusia punya pelbagai adunan warna perasaan masing-masing.. Inilah yang dikatakan CITARASA.. Tapi awas pada insani, hati duduk di sebuah taman yang dipanggil NAFSU dan kemudian berjiran dengan komuniti yang dinamakan SYAITAN..

Itu sebab, secara fisikologinya.. Hati berada di paras tengah, dada.. Akal pula pada kedudukan atas, iaitu kepala.. Inilah ajaran fitrah dari Allah swt.. Agar manusia, MENDAHULUKAN akal sebelum jatuh ke hati apabila ingin membuat suatu keputusan besar dalam hidup!

Manfaat pertama, minta fatwa akal dahulu sebelum fatwa hati.

Akal yang dipandu oleh iman dan wahyu pasti akan mengeluarkan fatwa yang berlandaskan syariat. Akal inilah yang memberikan pedoman seterusnya buat hati untuk berfatwa.. Mengikut lunas syariat tadi..

Sabda Nabi SAW.. Mafhumnya, agama dahulu barulah tiga perkara yang lain.. Ingat tak hadis nie?

Agama.. Alhamdulillah, ok.—Akal berfatwa.

Rupa paras?—Mintalah fatwa hati.

Pangkat dan ilmu?—Mintalah fatwa hati.

Keturunan?—Mintalah juga fatwa hati.

Lihat, akal membenarkan dahulu barulah hati boleh memilih..

Tahukah? Sesi taaruf yang meletakkan sunnah Nabi SAW untuk melihat pasangan dari dekat pada tempat muka dan tapak tangan adalah menunjukkan betapa Islam meraikan setiap hati-hati yang mahu berfatwa. Islam agama Fitrah.. Betapa adilnya Islam untuk melunasi tuntutan CITARASA hati yang hadir juga secara fitrah...

Manfaat kedua, fatwa AKAL semestinya, tapi fatwa HATI jangan dikesampingkan.. Dalam masa yang sama, tawakkal ‘ala Allah!

Masih pandang belakang?

Kalaulah fatwa AKAL dan HATi tadi sudah dilunasi sebelum ini, mengapa perlu ada unsur ‘pandang belakang’?

Saya belum berkahwin atau bertunang.. Tapi saya kira, betapa sakitnya akan ujian sebuah PERPISAHAN yang disengajakan mahupun yang tidak. Maaf, jika saya tersalah..

Kenapa perlu memutuskan sesuatu yang dimeterai tanpa ada alasan yang benar-benar konkrit.. Apakah ingat ini kerja yang boleh dibuat main-main?

‘Pandang belakang’ setelah membuat keputusan nekad bukanlah penyelesai kepada kerumitan dan getusan hati yang inginkan sebuah kesempurnaan.. Bahkan, ‘pandang belakang’ akan menyakitkan dan menghampakan! Berhati-hati..—Ini yang saya sebut, suatu “KESENGALAN”.

Kita mahukan suatu yang ideal dari segi KEMAHUAN, PERANCANGAN, dan PELAKSANAAN.. Tapi tahukah kita, pilihan-pilihan yang datang terkemudian yang datang setelah membuat suatu pilihan muktamad bukanlah pilihan yang semestinya perlu diimbang tara semula..

Kadang, ia sekadar pilihan.. Maka, biarkan ia berlalu tanpa menggangu keputusan asal..

Atau, ia gangguan dari jiranan syaitan.. Ya, hati kita yang duduk pada taman Nafsu diganggu oleh kejiranannya.. Maka, pastikan akal kuat untuk membimbing hati!

Melainkan.. Pilihan tadi datang setelah ada alasan yang betul-betul munsabah. Yang rasional pada namanya akal bukan pada hati yang diganggu oleh runtunan nafsu.. Maka, ketika itu wajarlah untuk menilai semula keputusan awal.

Situasi ketiga ini sahaja yang boleh diterima..

Tapi.. Masih ada ‘tapi’ lagi..

Selagi cabaran tadi boleh didepani bersama, Teruskan! Itu lebih baik.. Dan, insya Allah bilamana kesemua rintangan dan halangan yang menjelma dapat diatasi pastinya disitulah terbit rasa kasih serta sayang yang insyaAllah akan terabadi setelah berumah tangga nanti.

Manfaat ketiga yang saya boleh utarakan..

Kebahagian LUAR biasa ialah; menerima seseorang atas dasar KELEMAHANNYA yang perlu ditampungi.. berbanding.. Kebahagian yang BIASA: menerima seseorang atas dasar KELEBIHANNYA yang dapat dinikmati..

Istikharah yang berterusan..

Saya rasa ada lagi yang tersilap memahami akan konsep "ISTIKHARAH"..

Ya, istikharah tatkala kita ingin membuat keputusan agar pilihan tadi adalah yang terbaik untuk kita.. Iaitu istikharah untuk 'keputusan yang BAKAL diambil'. Ini satu segi.

Segi kedua yang jarang orang perbuat, istikharah pada 'keputusan yang TELAH diambil' agar hati senantiasa ditetapkan oleh Allah swt.. Jangan dibolak-balik.. Datanglah apa-apapun di hadapan sana, hati tetap pada keputusan muktamad yang asal.

Tawakkal ‘ala Allah!

Maka, dari segi inilah istikharah perlu diteruskan hingga bila-bila.. Hari ini, esok, lusa, setahun perkahwinan, lima tahun perkahwinan, dan sepanjang itu istikharah tetap dibuat.. Mohon agar Allah menetapkan dan mengekalkan natijah keputusan yang diperbuat melalui fatwa AKAL dan HATI..

Ramai yang rajin membuat istikharah ‘sebelum’..

Bertambah-tambah pada fasa ‘semasa’..

Tapi, berapa ramai yang ‘selepas’..?—Nota buat kita semua.

Tuntas, disinilah juga sebenarnya kayu ukur bagaimana untuk kita mengenali diri.. Maksudnya, sejauh mana kita menyandarkan keputusan sesuatu itu MUTLAK milik Allah swt.. Atau kita hanya berpura-pura di depan Allah swt.. Na’uzubillah!

Ketika sebelum, Ya.. Sebab kita belum dapat..

Ketika semasa, mestilah sebab kita dalam fasa hampir nak dapat.. Boleh jadi Tidak dan boleh jadi juga Ya.. Ketika ini, kebimbangan tahap maksima!

Tapi, ketika selepas..? Berapa ramai yang masih mengamalkan istikharah setelah menggenggam sebuah keputusan??

Bahkan, belum tentu ada di kalangan kita yang masih meneruskan istikharahnya walaupun “ditolak”.. Kalaulah ada orang yang macam ini,,, Ya Tuhanku.. Dialah manusia yang punya tahap keikhlasan tertinggi..

Manfaat keempat, belajarlah dari orang-orang seperti ini.. Yang tidak pernah kenal rasa KECEWA dan HAMPA malahan mereka BERBAHAGIA dengan DERITA..

Jangan ragu lagi..

Kerutinan hidup kita tidak lari dari membuat keputusan, melaksanakannya dan seterusnya menjaga natijah dari keputusan tadi.. Apapun aktiviti kehidupan yang dibuat, pastinya sentiasa berlegar pada tiga proses ini..

Sebelum, semasa dan selepas.

Allah swt.. itulah yang TERBAIK untuk dijadikan alasan buat hati yang sering diserang oleh macam-macam.. Kenapa kita membuat keputusan untuk memilih yang ini..?

Kerana Allah swt!—Alhamdulillah, ini jawaban yang paling “solid”.. Allah semestinya kekal sampai bila-bila.

Moga usaha pencerahan mampu memberikan sedikit cahaya buat hati-hati yang kemalapan dari sinar.. Gunakanlah sinar yang tak seberapa ini untuk bertenang dari kegelisahan. Bukan untuk orang lain, untuk saya yang masih bergelar "PELAJAR KEHIDUPAN".. Moga ada manfaat.

Wallahu a’lam.

No comments: