Tuesday, December 29

We NEVER Give Up!!


“Maka, siapa sahaja yang bermujahadah (untuk menuju keredhaanKu), maka nescaya aku akan tunjukkan jalan-jalan padanya.”—Quran.

Say it Loudly:

Never Give Up!

Again..

Never Give Up!!

Again..

Never Give Up!!!

Alhamdulillah, sebagai seorang Muslim, tidak sepatutnya ada dalam diri kita istilah ‘Give uP’-Putus Asa.. Kerana kita bukanlah umat yang wewenang untuk berputus asa.. Tuntas, kitalah umat Terbaik dikalangan sekalian umat yang ada di muka bumi Allah SWT ini.

Maka, pastikan itu dibuktikan!

-myikhwanfiideen-

UiTM Dungun.

Sunday, December 27

Remaja, emaskan masa anda!

Firman Allah SWT:

“Demi masa! sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian kecuali orang yang BERIMAN dan BERAMAL SOLEH serta BERPESAN-PESAN dengan kebenaran dan kesabaran”—Quran.

“Gunakan masa LAPANG sebelum tiba masa SEMPIT”—Hadis Nabi SAW.

Bernilainya seutas Jam lantaran masa yang ada padanya..

Masa itu emas.. Itulah pepatah melayu yang sering dikaitkan tentang betapa berharganya masa yang ada. Dan saya pula lebih suka menggunakan pepatah Arab, masa itu ibarat Pedang! Kerana masa tiada tandingannya dengan wang berjuta.. Atau emas berkarat mahupun intan berlian..

Masa juga, ia tidak boleh dirasa mahupun dilihat oleh mata.. Sekadar manusia mampu mencipta jam konkrit untuk menyukat masa di saban waktu yang ada.. Menyedarkan manusia bahawa masa adalah waktu yang akan berlalu pergi dan tidak kunjung kembali.. Maka, siapa yang perlu dikejar atau mengejar? Kitakah atau masa?

Hakikatnya, kita yang perlu mengejar masa! Bukan masa yang mengejar kita.

Namun, sayang seribu kali sayang.. Masih ramai remaja yang alpa.. Tidak sedar akan hakikat ini dan sengaja membiarkan masa berlau dengan sia-sia.. Percayalah, hari ini kita bertungkus-lumus memanfaatkan masa sudah pasti esok hari impian yang ditanam akan menjadi kenyataan.. Sebuah kehidupan yang lebih sukses bakal menunggu kita di hadapan sana..

Itulah berkat pelaburan masa kita pada hari ini!

Ada dua golongan REMAJA. Yang pertama, golongan yang DICEMBURUI masa.. Sementalah yang kedua, golongan yang DITINGGALKAN masa. Sejujurnya mari kita bertanya pada diri, kita berada di golongan mana??

Golongan pertama, atau golongan yang DICEMBURUI masa adalah remaja yang yang sentiasa bergerak cekap dalam melakukan tindakan dan tugasan harian.. Pantas dalam membuat keputusan akan sesuatu perkara. Tidak bertangguh atau memberi alasan.. Ibarat seperti slogan yang selalu didengari; CEKAP,PANTAS dan DEDIKASI! Kalaulah anda selaku remaja menepati kriteria ini, terbukti andalah remaja yang dicemburui masa itu!

Pokoknya kepantasan anda membuatkan masa tidak dapat mengejar anda! Segala tugasan yang diberikan oleh guru di dalam kelas dapat disiapkan sebelum deadline yang ditetapkan.. Wah! Inilah yang menyebabkan masa semakin hari semakin cemburu dengan anda!

Hebatnya seseorang apabila masa yang hidup di alam maya itu sekalipun mampu mencemburui dia sebagai manusia di alam nyata.. Inilah yang dikatakan Khalifah ciptaan yang Maha Esa. Iaitu, mereka yang bijak memanfaatkan masa untuk pelaburan akan datang yang berfaedah..

Indahnya dunia ini jika dihiasi oleh remaja-remaja seperti ini.. Pastinya alam akan menyanyikan lagu-lagu riang kerana di atasnya berjejak golongan remaja yang mencorakkan dunia dengan warna-warni kehidupan sebenar!

Adapun golongan kedua, iaitu golongan remaja yang DITINGGALKAN masa.. Hakikat, remaja seperti ini tidak takut apabila ditinggalkan masa tetapi apa yang mereka gusarkan ialah bilamana ditinggalkan cinta.. Semangatnya akan rapuh mengejar cinta yang tiada hala tujunya.. Hairan bin ajaib, kerana pada masa yang sama mereka masih bisa berbangga.. Walhal masa sudah pergi jauh di depan sana!

Inilah remaja ‘MADANI’ yang rugi.. Kalaulah mereka terus alpa dan lalai dengan ‘DUNIA CIPTAAN’ mereka sendiri ini, pastilah di hujung sana penyesalan yang tiada galang-gantinya akan terbit.. Aduhai adikku, janganlah anda menjadi golongan ini!

Sesuatu yang kita perlu tahu..

Bila kita membuka mata dari lamunan tidur, kita perlu sedar bahawa masa kita telah lama berjalan.. Maka, dari situ dua perkara yang perlu kita INGAT. Pertama, masa TIDAK akan menoleh ke belakang lagi.. Kedua, masa pasti tidak akan menunggu kita lagi!

Tuntas, marilah kita sama menghargai masa yang dikurniakan sebentar oleh Allah SWT ini.. Apa jua perancangan masa yang diatur biarlah semua berada pada landasan Taqwa.. Emaskan masa kita agar ia bernilai sebanding dengan apa yang dikatakan ‘masa itu emas’.. Bahkan lebih lagi!

Renung-renunglah kata-kata masyhur dari Imam Hassan Al-Banna;

“Tanggungjawab yang ada LEBIH banyak dari masa yang ADA.”

Tangis di balik Horizon..

-Gambar Hiasan-

Kurasakan lambaian tangan
pada silam terlanjur kelam
lepas tali pengikat harapan
saat bahtera merajuk di samudera…

Deru ombak isi dada yang sesak
Awan hitam lingkari rasa ragu
Namun diri tak ingin kembali
Karena kelam tak mungkin kuulang..

TERLANJUR, kupercaya pada angin
Yang memberikan arah
Yang meniupkan harapan..

TERLANJUR, ku lepaskan impian
Pada samudera yang luas
Dan biru laut terdalam..

Tak ingin menepi!
Biarkan kaki dilembutnya butir pasir
Di sepoinya angin pesisir..

Kerana, hidup hanya misteri!
Saat kita hanya diam
Nikmati kesenangan…

Tuhan,

jadikan KEINGINANku jadi doa yang Kau dengar
jadikan KEBENCIANku jadi tanah yang terkubur
jadikan KEGEMBIRAANku jadi wangi semerbak kebun melati..

bukakan mata laksana ketakutan atas buta
pekakkan telinga laksana terdengar nafas ditengah badai menghempas
kuatkan pijakan laksana akar merambat sekitar..

biarkan angin membuatku segar
mengirimkan cerita yang beraroma
melesakkan nada hempasan kayu dan dedaunan
karena itulah dunia, yang selalu berisi cerita dan suara..

Bumi yang kini kupijak
Jadikan ia hamparan harap
Hingga setiap langkah terisi makna
Hingga setiap niat terisi nyata..

Tuhan,

Ampuni aku untuk kelmarin
Ampuni aku untuk kini serta esok
Dan ampuni setiap lipatan waktu yang membawaku pergi
Moga daku selalu dalam teduh Iman… Ameen!

Saturday, December 26

Proglemano: Dakwah.. Jadikan ia mudah.

“Saya tak tahu nak cakap apa lagi.. Saya dah kehabisan idea.”—Adik peserta itu menggaru-garu kepala lututnya yang tidak gatal. Rakan-rakannya yang lain tersenyum.

“Saya rasa nak habiskan setakat di sini sahaja.” Semacam tampak dia dah berputus asa. Sesi pagi itu ialah setiap peserta diminta tampil ke hadapan untuk bercakap sesuatu mengenai Islam.

Ada yang boleh bertutur dengan lancar.. Ada yang punya idea mencurah-curah. Dan tidak kurang juga yang masih kekok seperti adik seorang ini..

-Gambar Hiasan-. Mengajak manusia, biarlah dengan bahasa yang selari dengan kefahaman akalnya..

“Bang, saya tiada ilmu nak cakap tentang Islam.”—Peserta tadi meluahkan masalahnya setelah selesai sesi pada pagi itu. Kini, hanya kami berdua sahaja. Sengaja saya mengambil masa yang lebih ‘privacy’ untuk mendekati adik-adik ini. Biar mereka merasa tidak malu untuk berkongsi masalah. Berbanding apabila kita bertanya secara ‘direct’ di depan rakan-rakan mereka yang lain.

“Kenapa pula tiada ilmu?”—Saya menyoal lagi.

“Betul bang. Saya bukan pelajar sekolah agama.. Apalah yang saya ada..”

“Kamu ada kalimah syahadah. Lailaha illallah, itu pun Ilmu!”. Balas saya ringkas dan padat.

Adik tadi terlopong seketika..

“Ya dik. Ilmu itu sebenarnya dah ada di dalam diri kita.. Tinggal lagi kaedah bagaimana untuk kita nak sampaikan kepada manusia..”

Lailaha illallah.. Ini juga ilmu dakwah!

“Dan siapa lagi yang paling baik kalimatnya di sisi Allah SWT kalau bukan mereka yang menyeru dan mengajak kepada jalan Allah...”—Al-Quran.

Setiap dari kita sebagai hambanya yang beriman kepada Allah dan cintakan RasulNya tidak seorang pun yang terlepas dari tanggungjawab untuk berdakwah. Iaitu dalam konteks yang umumi, mengajak manusia kepada jalan KEBAIKAN dan mencegah mereka pada jalan KEROSAKAN.

Dan, setinggi-tinggi kalimat dakwah di sisi Allah SWT ialah seruan ta’abbud yang terkandung dalam lafaz lailaha illallah, Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah!

Bukankah kalimat yang agung itu sudah terpasak dan terbumi di dalam jiwa kita yang dibaluti oleh nilai-nilai keimanan? Maka, secara tidak langsung sebenarnya ilmu tentang apa yang kita mahu sampaikan kepada manusia sejagat sebenarnya telah lama ada sejak dari kita mengenal apa itu Islam. Tuntas, inilah juga maudhu’ (tajuk) yang akan kita gunakan untuk menyeru manusia keliling!

Cuma, persoalannya sekarang ialah bagaimana kita nak berdakwah? Maksud saya, bahan dakwah sudah tersedia tinggal lagi bagaimana untuk kita menyampaikan kepada orang lain mengikut KREATIVITI kita masing-masing. Kreativiti itulah yang dinamakan seni berdakwah!

Berdakwah dan SENI berdakwah.

Firman Allah SWT:

“Serulah kamu di jalan Tuhan engkau dengan berhikmah serta dengan petunjuk-petunjuk yang baik lagi benar..”—Al-Quran.

Ulama terkenal iaitu, Dr. Said Al-Qahtani menerangkan perihal ‘berhikmah’ sebagaimana yang disebutkan dalam ayat di atas dengan membahagaikannya kepada dua jenis.

Pertama, hikmah yang bermaksud TEORITIKAL. Iaitu, kemampuan untuk melihat sesuatu peristiwa ataupun perkara dan kemudian mampu membuat hubungkait sebab dan akibatnya, baik buruknya, serta hukum yang dikeluarkan daripadanya..

Kedua, hikmah yang bermaksud PRAKTIKALITI. Iaitu, kemampuan seorang da’ie untuk mengaplikasikan ilmu yang sedia ada pada masa yang tepat dan dengan menggunakan kaedah yang paling sesuai.

Maka, pada perihal ‘kaedah yang paling sesuai’ inilah yang akan merujuk kepada namanya SENI dalam berdakwah. Hakikatnya, setiap orang dikurniakan oleh Allah SWT kemampuan dan sifat kreativiti masing-masing yang unik. Inilah yang membezakan setiap dari para da’ie. Masing-masing punyai SENI tersendiri.

“Hmm.. Kalau begitu, kira orang yang melukis kartun untuk tujuan kefahaman Islam dikira mereka pun berdakwah jugalah kan?”—Soalan tercetus setelah lama termenung.

Cat Steven@Yusuf Islam. Beliau ada SENI tersendiri dalam berdakwah.

“Ha’ah.. Itulah seni dia dalam berdakwah.”

“Yang penting matlamat apa yang dia nak capai.. Kalau untuk kebaikan Islam dan manusia, insya Allah itupun dikira sebagai berdakwah.”. Saya cuba menerangkan konsep dakwah dalam konteks yang paling ‘ringan’ untuk tahap pemikiran adik-adik seawal alam persekolahan menengah.

Percayalah,

Dakwah ini mudah.. Tidak susah.

Dakwah ini boleh dibuat oleh siapa sahaja..

Hatta menunjukkan akhlak mulia, ini pun suatu dakwah.—Dakwah bil haal!

Harapan kita agar biarlah mereka generasi baharu teruja untuk melakukan dakwah!