Thursday, May 27
Wednesday, May 26
Assalamualaika ya Rasulullah...
Di bawah kubah hijau inilah tempat bersemadinya baginda Rasulullah SAW.
Alhamdulillah...
Syukur kepada Allah SWT kerana dengan izinNya perjalanan Kembara di haramain (dua tanah suci) selama 11 hari berjalan dengan lancar.
Banyak yang ingin ditulis dan mahu untuk dikongsi... Tapi bukan sekarang. Rasa seronok bertemu Rasulullah SAW masih terasa walaupun kaki sudah berjejak di Malaysia.
Terlalu sayu untuk meninggalkan dua bumi haramain ini, entah bila lagi akan ke sana...
Apapun mudah-mudahan setiap dari kita dipermudahkan oleh Allah SWT dan dipilihNya sebagai Dhuyufurrahman (tetamu Allah).
Beberapa keping gambar Kenangan:
Di hadapan pintu ke Perkuburan Baqi'. Ramai sahabat Rasulullah di sini termasuklah isteri baginda Ummul Mukminin Saidatina Aisyah.
Pengajian di Universiti Madinah.
Masjid Quba'. Masjid pertama yang dibina oleh baginda Nabi SAW.
Kilang percetakan Quran Rasm Uthmani.
Bukit Rumat di Jabal Uhud. Banyak kisah 'ibrah di sini...
Insya Allah... Doakan Travelog kami dapat ditulis secepat mungkin.
Ameen...
Thursday, May 13
1/3 malam
Sesungguhnya saat paling indah dan nikmat bagi seorang Muslim adalah tatkala ‘berkomunikasi’ dengan Tuhannya. Di antara jalan yang ditempuh adalah melalui Qiyamullail...
Mendirikan malam di keheningan malam ketika kebanyakan manusia sedang terlelap.
Qiyamullail menjadi saranan bagi seorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Allah. Sesungguhnya, seorang muslim yang rajin melakukan ibadah di keheningan malam akan dicintai dan dekat dengan Allah SWT...
Tak hairan jika orang-orang soleh terdahulu (salafus saleh) merelakan raga mereka lelah karena bermunajat dengan Sang Pencipta.
Mereka rela menggadai sebahagian waktu tidur demi keutamaan dan ganjaran yang telah Allah siapkan...
Wednesday, May 12
Rezeki yang kedua
Sudah lama niat terpendam untuk menulis…. Menulis buku. Tetapi asyik tidak berkesempatan. Kalau ada sekalipun, ia hanya sampai separuh jalan. Kata orang, terbantut!
Menulis sesuatu mungkin mudah.
Tapi. mahu menghasilkan satu tulisan yang santai, mudah, simple, tetapi pada masa yang sama ada perkongsian berharga mungkin tdak semudah yang disangka... Itulah antara cita-cita saya yang masih tidak kesampaian. Iaitu mahu menghasilkan buku yang menjadi tatapan berharga buat diri dan orang lain.
Sebelum ke tanah suci saya sudah berkira-kira untuk menulis sesuatu di sepanjang siri kembara kami kali ini. Kalau pun tidak sampai ke tahap tulisan buku, laman blog yang ada pun jadilah. Hajat saya moga-moga input seperti itu mampu memberi motivasi kepada siapa-siapa untuk menjejak kaki ke tanah suci pada usia yang termuda.
RM700 000 dana perbelanjaan untuk ke sana bukannya sedikit... Jerih perih dan penat lelah pensyarah serta pelajar untuk mencari dana sebanyak itu wajib untuk ditulis! Air mata suka duka kami sepanjang program ini wajib untuk dikongsi... Begitu juga dengan kemurahan hati serta keikhlasan mereka yang menyumbang wajib dihargai dengan sebuah tulisan.
Kerana semata-mata niat ikhlas menunaikan suatu kefardhuan bagi seluruh umat Islam.
Alhamdulillah... Pucuk dicita ulam mendatang. Pagi tadi saya berjumpa dengan Dr Sharizal. Beliau menawarkan ‘projek’ untuk menghasilkan sebuah buku Travelog Siswa khusus untuk ibadah Ziarah dan Umrah. Mungkinkah ini buku saya yang pertama? Insya Allah...
Setelah proposal novel Zammiluni tertangguh untuk seketika, saya berharap yang ini tidak mendapat nasib yang sama. Saya katakan kepada Dr Sharizal yang saya tidak mampu menulis seorang diri. Saya perlukan beberapa orang pemikir, pencatat dan sekaligus penyunting bahasa. Biarlah ada variasi idea serta bahasa...
Sekarang tugas saya adalah mencari seorang lagi penulis siswa dan seorang lagi di kalangan siswi. Kalau anda berminat, jangan malu dan jangan segan, bolehlah untuk tawarkan diri. Jadi mentor kepada saya pun boleh.. Masih banyak sebenarnya yang saya tidak tahu dan ingin belajar.
Saya selalu teringat.... “Dengan tulisanlah kita mampu mengubah Dunia”. Tapi bagaimana kalau tidak bermula?? Saat mula itulah sebenarnya detik yang paling sukar sekali. Sokongan sahabat-sahabat amat diperlukan..
"Adakalanya saya mendapat idea secara tiba-tiba. Tapi ini jarang berlaku. Kebanyakan dari idea saya timbul apabila saya memaksa diri untuk menulis."-Buku THE MAGIC OF THINKING BIG, David J. Schwartz.
Doakan perjalanan kami agar dipermudahkan oleh Allah SWT. Ameen.
Tuesday, May 11
Damai: Harta karun desa
“Esok dah nak balik... Hmmm. Sekejap je kat rumah.” Ujar ibu dengan nada suara yang perlahan. Tangannya sibuk menjahit sesuatu.
“Dekat je Johor tu Bu. Tak sampai pun 3 jam kalau nak balik.” Balas saya.
Ibu diam. Memendam sesuatu. Riak mukanya mencerminkan selaut rindu kepada anak-anak yang duduk berjauhan. Apakan daya, demi sebuah jihad menuntut ilmu. Anak dilepaskan pergi walaupun ada derita di dalam hati...
Semalam...
“Enta kat mana ni? Ana nak minta tolong sat...” Suara Dr Safry bergema dihujung gagang sebaik punat hijau ditekan.
“Maaf Dr... Ana kat Sabah sekarang.”
“Aik? Balik lagi?” Sedikit terkejut.
“Ha’ah. Ana balik kejap. 6 hari je kat kampung.”
“Kerap benar balik... Ada apa-apa ke kat kampung tue?”
“Haha... Takde apa-apalah. Saja je balik.” Saya ketawa.
ADA APA PADA DESA?
Tiada supermarket raksasa atau hypermall antarabangsa... Yang ada hanya warung kopi besar reban ayam saja.
Tiada lebuh raya atau terowong SMART penghubung kota... Yang ada hanya jalan raya itupun belum bertar sepenuhnya.
Segala-galanya tiada di kampung kalau ukuran kita adalah materialistik semata-mata.... Tapi, kampung ada satu khazanah yang paling berharga... DAMAI. Inilah yang tiada di kota!
Bunyi hon diganti kepada alunan kicau burung..
Suara kasar manusia bertukar sapaan mesra ‘orang Kampung’..
Pemandangan batu bertukar warna-warni pokok yang menghijau...
Oh damainya desa!
“Alhamdulillah... Dah dapat transfer semula ke sini.” Ucap Abang yang baru sampai dari KL. Sudah dua tahun bermastautin di sana.
“Lepas ni pindah lagi ke sana?” Saya menguji.
“Fuh. Taubat dah tak akan ke sana lagi...” Jawab Abang bersungguh. Saya tersenyum... Damainya kampung, menggamit anak desa untuk kembali semula. Tak kiralah di mana sahaja berada. Teringat tulisan Dato’ Shahnon Ahmad, Beruzlah.....
Ya, desa ini sesuai untuk beruzlah!
Selamat Tinggal Ibu...
Selamat Tinggal Desa yang Damai...
Ayam, itik, dan Sawah yang Hijau.... Insya Allah jumpa lagi!