Sunday, December 28

Impak maksima dari krisis ekonomi

Ketika membawa kereta ke bengkel pada petang semalam, saya sempat berbual dengan seorang aunty berbangsa sino yang kebetulan berada disitu juga.. Madam Margaret Chong mesra orangnya.. Lama juga perbualan kami hinggalah kereta kakak saya selesai diselenggara.

Susah woo.. Hari ini manyak jam punya.. Sambil tersenyum, aunty Margaret menegur saya..

Biasalah aunty.. Inikan Krismass.. Semua orang mesti mau shopping ma..

Ya.. Tapi tengoklah Febuari nanti.. Haa.. Masa tue baru kita tau woo.. Manyak susah..

Napa pula aunty? Saya masih tidak dapat menangkap maksudnya..


Eh.. you tidak tahu ka.. Tahun depan kan ada itu kr
isis ekonomi.. Negara kita mesti ada kesan punya.. Kita tengokla nanti..

Ya.. Baru saya teringat.. Tahu, memang tahu.. Cuma, tak sangka ada orang macam aunty yang concern pasal tue.. Apalagi bersedia dengan perancangan untuk menghadapinya..

Krisis Ekonomi: Di mana silapnya..?



Isu kemelut serta krisis ekonomi global ini memang sewajibnya difahami dan diketahui semua. Ini kerana impak yang tercetus disebabkannya akan melanda semua individu dan bukan hanya orang yang ada kepentingan ekonomi sahaja..

Profesor Jomo KS, mantan pensyarah ekonomi Universiti Malaya yang juga seorang pakar ekonomi sehingga beliau dilantik sebagai ahli Suruhanjaya Pakar untuk Pembaharuan Sistem Kewangan Antarabangsa (Commission of Expert on Reforms of the International Monetary and Financial System) menegaskan bahawa krisis ini berlaku disebabkan beberapa faktor.


Kata Prof Jomo, tanda-tanda krisis sebenarnya sudah dilihat oleh ramai ahli pakar ekonomi iaitu bersandarkan cara kerajaan-kerajaan dunia sekarang mentadbir sekarang yang cenderung melakukan pengguguran peraturan secara berleluasa dalam sektor kewangan dan pelaburan. Keghairahan mana-mana kerajaan yang memerintah untuk mendapatkan keuntungan terutamanya dalam sektor pinjaman perumahan, pertukaran mata wang asing menyebabkan sistem sekuriti sosial sanggup diperdagangkan!

Amaran ini tidak diendahkan oleh ahli-ahli politik menyebabkan lahirnya krisis kewangan yang serius sehingga wabak ini merebak kepada ekonomi sebenar iaitu aktiviti jual-beli harian yang melibatkan orang awam yang tidak bersalah. Kita boleh katakan krisis ekonomi yang melanda ini adalah satu penganiayaan berbentuk senyap terhadap golongan marhaen yang sememangnya tidak terlibat secara langsung dalam mencetuskan fenomena ini!

Menurut Prof Jomo lagi, kemelut ini sebenarnya boleh ditangani dengan lebih awal kerana peristiwa sepertinya pernah berlaku ketika abad 20-an lepas. Krisis yang dipanggil dengan nama "the Great Depression" itu telah pun dikaji oleh pakar-pakar ekonomi lepas siap dengan pelan pencegahannya jika ia berlaku semula... Tapi, malangnya tidak ramai yang berusaha untuk mmperbuat akan nasihat pakar ekonomi dahulu kerana semuanya hari ini lebih cenderung serta percaya akan sistem pasaran bebas!

Ini suatu yang meloyakan...


Bukan krisis ekonomi yang meloyakan.. Tapi, tindakan kuasa-kuasa besar yang dilihat bersungguh-sungguh untuk membuka usahasama dengan negara-negara membangun yang sebelum ini tidak dipandang pun oleh mereka atas alasan kononnya untuk mencari jalan penyelesaian adalah suatu tindakan yang meloyakan..

Ironinya juga ia suatu tindakan yang zalim.. Masakan tidak, hanya dengan alasan 'penyelesaian bersama' maka kelompok negara maju G7 mula menadah wang ihsan dari kelompok G20 yang terdiri dari negara-negara membangun yang sekarang ini menikmati pembangunan ekonomi yang lebih rancak dan kadang-akadang dilihat lebih stabil berbanding kelompok G7. Walhal operasi perang di Iraq yang menelan ratusan bilion do
lar masih diteruskan juga.. Itu sebab saya menyokong tindakan si pembaling kasut tempoh hari! Baru padan muka..

Sebelum ini, negara-negara G7 seperti Perancis dan Britain lantang sekali mengkritik kelompok G20 yang dianggap oleh mereka kolot kerana masih tidak membuka pasaran ekonominya secara total. Tapi, kali ini mereka menjilat ludah mereka sendiri dan bersikap hipokrit apabila negara sendiri mengamalkan dasar perlindungan (protectionism) dalam beberapa sektor negara yang dirasakan penting!

Impak maksima kepada rakyat..


Apabila Prof Jomo ditanya, baginya untuk golongan miskin yang tidak mempunyai sebarang milikan saham (dimana sektor ini antara yang terjejas teruk), impak secara tidak langsung juga memberikan kesan yang signifikan..


Ini kerana apabila saham jatuh, keupayaan bank dan firma untuk menyelesaikan segala hutang (solvency) bergantung kepada jumlah milikan yang mereka ada. Jika nilai milikan susut, bank dan firma akan berhenti menyalurkan pinjaman kepada syarikat dan seterusnya syarikat mahupun agensi terpaksa menghentikan pekerjanya untuk mengurangkan tanggungan kewangan. Impak semacam ini sedang berlaku di USA sekarang!

Walaupun baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Najib bin Razak mengumumkan bahawa kerajaan bersedia untuk menghadapinya. Buktinya bulan Disember tahun ini, kerajaan tetap memberikan bonus buat kakitangan awam seperti yang digazetkan dalam budget yang dibentangkan oleh menteri kewangan sebelum ini seolah-olah tiada apa yang perlu dibimbangkan.. Tapi, bagi saya ia bukanlah suatu yang boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan isu ini begitu sahaja.. Dan bagi saya juga apa yang penting ialah bonus itu bukanlah gula-gula buat rakyat.. Jangan hanya kerana strategi pilihan-raya maka kewangan negara sanggup dirisikokan!

Seperkara lagi apabila krisis berlaku.. Boleh dikatakan antara mangsa utamanya ialah siswazah. Suatu realiti yang tidak boleh dinafikan.Sebabnya krisis ekonomi yang berlaku pasti akan mempengaruhi hasil pungutan kerajaan dan menghadkan skop perbelanjaan kerajaan terhadap sektor awam terutamanya terhadap golongan yang lebih memerlukan. Maka, sudah semestinya kita akan melihat banyak sektor-sektor awam yang akan bertindak melakukan pengguguran yang terpilih (selective delinking) dalam melaksanakan modus operandi pencegahan. Dan tuntasnya, jika pengguguran berlaku maka mustahil ada pengambilan dbuat!

Tak perlu ambil contoh jauh-jauh.. Lihat sajalah di Singapura.. Baru-baru ini kita saksikan beribu orang telah ditamatkan tempoh kontrak kerja mereka tanpa ada penyambungan dibuat. Maknanya, bahang krisis di rantau asia ini bukan hanya bahang tapi sudah ada apinya..!


Hikmah dari Krisis..

Firman Allah..

Jika kamu bersyukur akan nikmatKu, nescaya Aku akan tambahkan lagi buatmu.. Tapi ingat! Jika kamu engkar, maka azabKu amatlah pedih..


Walaupun golongan kapitalis tahu benar sejarah silam akan kegagalan sistem mereka tetapi asbab ketamakan dan kesombongan, mereka tidak pernah meninggalkan iktikad mereka yang sesat ini sehingga mengundang bahana kepada Dunia. Tangan-tangan inilah yang membuat fasad (kerosakan) di muka bumi!

Pun begitu, buat orang Islam pula yang masih mengimani ekonomi kapitalis dan masih terlibat dengan Riba yang ada padanya.. Apakah kita mahu menunggu krisis ekonomi ini bertukar sehingga menjadi 'fenomena kebulur' seperti yang berlaku di negara-negara miskin baru kita mahu mengutip hikmah yang dikirim oleh Allah bersamanya?

Apapun, semuanya mestilah bahu-membahu untuk menangani krisis tanpa mengira bulu dan rencam ideologi politik yang dipegang. Ini suatu yang rasional kerana impak maksima dari krisis ini suka ataupun tidak ia akan tetap menghentam semua orang yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam jaringan ekonomi dunia kapitalisme!

myikhwanfiideen
Kota Bharu..Key Bey

No comments: