Sunday, October 25

Tidak mustahil berubah.

Semalam.

Menjejak sekali lagi di bandar tenggara, kebetulan ada undangan mesyuarat singkat di Universiti Tun Hussien On, UTHM. Balik dari meeting, saya mengambil kesempatan untuk bersinggah lelah dan lapar di rumah seorang sahabat.

Agak berbeda kali ini, sebab saya bertemu ‘rakan debat’ yang banyak tahu tentang bumi kelahiran saya.. Sebuah pertemuan yang tak disangka, tapi akhirnya saya kagumi pendapat yang dilontarkan olehnya.. Betullah, pengalaman orang tua WAJIB dikutip oleh orang muda. “Kalaupun taknak guna, tak salah untuk simpan.. Jadikan koleksi, silap haribulan kita nak lagi.”.

Selalu orang bertanya..

“Bila nak menang di sana?”—Merujuk tempat saya.

“Insya Allah.. Boleh.”. Dan, sampai sekarang ini sahaja jawaban yang boleh diberi. Optimis yang tak kunjung habis.

Lama juga bersembang hal ehwal politik.. Ibaratkan, bertemu buku dengan ruas. Kebetulan pula pakcik tadi adalah mantan SU sulit kementerian. Itu yang terlalu seronok berdiskusi dan ‘bertelagah’.. Alhamdulillah, banyak benda yang saya belajar.

“Orang muda, saya cabar kamu.. 10 tahun dari sekarang, sekurang-kurangnya dah jadi ahli DUN.”.—Cabaran dari pakcik.

“Makcik juga.. Makcik nak tengok nanti, kamu tukar Datuk Bung Mokhtar.”—Makcik juga meletakkan harapan.. Harapan pada merealitikan satu cabaran.

Saya hanya mampu tertawa.

Sabah mustahil berubah?

Rakyat bukan tidak mahu berubah. Tapi, rakyat masih "menunggu"

Ada orang kata..

“Alah.. Sabah memanglah. Dah memang kubu “dia” kat sana..”—Pendapat seorang ahli politik.

“Hmm.. Orang sabah terpencil. Tak dapat info. Patutlah undi orang lain.”—Kata seorang YB, Yang Berkhidmat..

“Sabah tertinggal. Boleh cakap, 20 tahun berbanding semenanjung. Nak buat macam mana?”—Luah seorang penceramah.

Tapi..

Saya kata, Tidak. Bahkan sabahlah negeri yang paling kerap berubah. Paling berani untuk berubah.. Jadi, apakah mustahil dia sekali lagi akan berubah? Tak mustahil..

Bermula awal kemerdekaan, iaitu penggabungan negeri ini dengan Tanah Melayu bagi membentuk gagasan Malaysia.. Semua orang tahu, ia bukannya satu keputusan yang mudah. Betapa ia memerlukan keberanian dari pimpinan negeri ketika itu, dan satu hati dikalangan rakyat yang bernaung.

Dalam keadaan masih banyak tanda tanya, apakah yang bakal berlaku pada warna-warni politik bila sudah duduk dalam satu rimbun? Atau.. Apakah akan terbela nasib 32 suku etnik yang ada dan sejauh mana survival mereka? Semua ini terpaksa ditelan untuk merealisasikan sebuah perubahan yang besar.

Maka dengan keberanian tadilah, akhirnya sabah setuju menjadi Malaysia..

Tidak habis dengan itu, sabah terus-terusan mengalamai transformasi politik yang cukup mengejutkan. Zaman parti USNO pimpinan Tun Mustapha (Bapa kemerdekaan Sabah) telah ditumbangkan oleh parti BERJAYA yang diketuai oleh , Datuk Harris.. Walaupun diketahui umum akan jasa Tun untuk Sabah, tapi status sebagai bapa kemeerdekaan tidak menjamin Tun ketika itu untuk kekal.. Kerana kuasa rakyat yang ada mahukan perubahan sekali lagi!

Walaupun bermacam spekulasi yang datang, termasuk meletupnya kapal terbang yang dinaiki oleh Tun Fuad Stephen (Ketua menteri ketika itu) ketika perjalanan balik ke ibu negeri. Apapun, akhirnya Datuk Harris naik ke persada untuk memerintah negeri..

Zaman perubahan tidak berakhir di sini..

Apabila rakyat mahu berubah maka negeri akan berubah.. Pemimpin lama atau parti politik yang memerintah pasti akan diturunkan dari bertakhta.

Parti Bersatu Sabah, PBS yang dipimpin oleh dua orang adik beradik, Datuk Pairin Kitingan dan Datuk Dr. Jeffery Kitingan berjaya menumpaskan BERJAYA yang ‘tak berjaya’ dalam pilihan raya umum.. Keputusannya, USNO dan BERJAYA kemudiannya terus berkubur.. Dan, pada ketika itu selain dari negeri Kelantan hanya ada negeri Sabah sahaja yang diperintah oleh pembangkang.

Tapi, Tun Dr. Mahathir adalah manusia yang sememangnya bijak..

Beliau memerintahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Timb. Perdana Menteri ketika itu) untuk menggerakkan kempen besar-besaran bagi menawan Sabah termasuk mercu tandanya, si Gunung Kinabalu. Antara strategi yang dibuat ialah, membawa masuk UMNO—Barisan Nasional. Parti dari semenanjung.. Termasuk beberapa strategi sulit yang tak boleh diceritakan di sini.

Maka, berlakulah pertembungan BUKU dengan RUAS pada pilihan raya umum, antara Pairin&Jeffery (adik beradik)—Mahathir&Anwar (anak beranak).. Dan, kemenangan sebenarnya berpihak pada dua adik beradik tadi.. Tapi memanglah, Tun Mahathir bijak orangnya apatah lagi bila dibantu oleh ‘anak angkat’ beliau Anwar Ibrahim.. Akhirnya, PBS tumpas ekoran peristiwa “lompat-melompat” yang diketuai oleh Datuk Amir Kahar.

Kini, UMNO—Barisan Nasional memerintah.. “Bukan dari Dulu, Cuma Sekarang, dan Tidak Selamanya”.. Sebab, apa yang pasti rakyat sabah akan melakukan perubahan sekali lagi.. Tunggu dan lihat.

Tokoh Tempatan—Karakter yang ditunggu.

Rakyat memang bersedia untuk berubah. Tapi, "tangan" siapa yang mampu merobah?

Kalau kita teliti..

USNO, ada Tun.. Siapa tak kenal Tun? Segenap ceruk kampung mengenalinya.. Bapa Kemerdekaan Sabah.

BERJAYA, ada Datuk Harris.. Siapa pula tak kenal Datuk Harris? Orang dulu-dulu kata, masa zaman BERJAYA nie.. Mintalah apa sahaja.. Semuanya kerajaan negeri akan bagi. Semuanya kerajaan akan tanggung. Lebih-lebih lagi zaman itu, sabah banyak balak!

PBS, ada dua adik beradik yang cukup hebat. Pairin dan Jeffery. Walaupun dah masuk ISA beberapa kali, sampai sekarang karier politik Dr. Jeffery tak pernah padam.

UMNO pula? Siapa yang ada.. Datuk Musa?

Bukan.. Orang Sabah melihat kepada ketokohan Tun Mahathir dan Datuk Seri Anwar.. Mereka menjadi figura kepada UMNO sehinggalah ia mampu menawan negeri ini..

Kesimpulannya, mahu tak mahu perlu ada “Public Figure”.. Tokoh yang kita boleh unjukkan kepada rakyat bagi menambat hati mereka dan seterusnya memberikan undi percaya. Apatah lagi tokoh tersebut adalah anak tempatan sediri sebagaimana yang dilakarkan oleh parti USNO, BERJAYA ataupun PBS. Rakyat akan terima dengan rela tanpa perlu ada permainan “lompat si katak”.

Hakikatnya.. Inilah antara cabaran kita hari ini.

Saya melihat.. Siapa-siapa pun, baik UMNO atau PAS, atau PKR.. Parti-parti ini masih gagal dalam memobilasi ahli dari kalangan anak tempatan untuk menjadi pemimpin yang menerajui parti dan seterusnya rakyat negeri sendiri.. Pemimpin itu ada, tapi tahap seorang tokoh rasanya belum sampai lagi.

Kalau UMNO, mungkin perlukan sentuhan janji Datuk Seri Najib.

PKR, mestilah dengan kepetahan Datuk Seri Anwarnya..

Kalau PAS pula, kezuhudan Tok Guru Nik Aziz selalu menjadi rempah ceramah..

Kita tak nafikan kepentingan dan keperluan strategi seperti itu.. Tapi apa yang kita nak lihat dalam konteks ini, keperluan tokoh di kalangan anak negeri. Anak negeri ataupun anak bangsa yang lebih memahami suka, duka dan luka masyarakat di Sabah.

Ini antara benda yang mustahak bagi rakyat tempatan. Mereka lebih senang melihat anak bangsa sendiri yang memimpin berbanding orang lain.. Tambah-tambah lagi bila yang memimpin adalah tokoh besar yang boleh dikagumi oleh seluruh rakyat. Bukan jaguh kampung sahaja!

Sehingga ke hari ini..

Tidak mustahil UMNO terus akan kekal..

Tidak mustahil juga PAS, PKR, dan DAP akan mengambil alih..

Semuanya bergantung kepada bakal tokoh-tokoh tempatan yang “dilatih, diajar dan dididik” oleh parti-parti komponen tadi. Nak cakap di sini.. Sabah tidak mustahil untuk berubah sekali lagi. Perubahan yang belum berlaku bukan kerana rakyatnya takut untuk berubah, tapi soalan mereka; perlu berubah untuk apa? Dan, siapa yang mampu merubah? Ini yang tidak mampu dijawab hingga hari ini..

Namun, yang pastinya Sabah akan berubah sekali lagi.. Bila? Tunggu dan lihat.. Insya Allah.

No comments:

Blog Archive