Monday, March 29

Jangan kerana kemuncup..

-Jangan kerana sejengkal pokok kemuncup kita sudah menarik diri dari perjuangan-

Ini bukan benar-benar cerita pasal pokok kemuncup…

Atau jauh sekali dari cuba menandingi tulisan asal Tok Guru dalam buku ‘Kemuncup Dalam Perjuangan’...

Cuma sekadar meminjam tajuk asal.. Jua mengait sifat semulajadi akan pokok namanya kemuncup. Kemuncup di sepanjang jalan..... Jalan yang ini. Bukan jalan yang orang sana!

Agak lama tidak menyentuh soal politik negara. Politik parti. Politik manusia yang serba-serbi... Bukan kerana sudah mengundur diri dari dunia politik. Cuma kira saya bukan itulah tugas sehari-hari kita. Bukan tugas yang diarahkan secara spesifik hingga tugas lain terbengkalai. Jemaah ini ibarat sebuah bas yang setiap orang punya pernanan masing-masing...

Ibarat bas, ada yang menjadi tayar. Ada yang bertugas sekecil skru. Ada yang bertindak umpama bumbung. Enjin. Ekzos dan sebagainya... Setiap orang berfungsi pada tempatnya masing-masing. Tinggalkan tugas anda bermakna anda ‘mencacatkan’ bas ini. Walaupun tugas itu pada akal kita cuma sekecil skru saja....

Dan politik di mana letaknya?

Politik adalah jalan daripada ribuan jalan yang ada. Penyempurna kepada setiap yang lain. Kerana Jemaah ini membawa seruan dakwah serta tarbiyyah. Itu asas yang tiada kompromi! Maka antara jalan yang dirintis ialah jalan politik. Politik bersumberkan disiplin siyyasah Syar’iyyah dan bukan sumber nafsu manusia yang serba-serbi... Nauzubillah! Oh Allah jauhkanlah dari itu.

Itu sebab kerja kita banyak... Bukan kerja atas jalan politik saja. Bahkan terlalu banyak dari itu... Kaderisasi, tarbawi, kebajikan, dakwatul insan dan pelbagai lagi. Alangkah terkejutnya bila seorang dari kita boleh bercakap seperti ini:

“Ana tak bolehlah syiekh... Asyik-asyik politik. Ana dah muak dah dengan politik ni!”.

Virus dari pokok kemuncup!

Ya, saya rasa itulah penangan bunga kemuncup tadi. Sehingga orang yang sepatutnya faham dan serta mendokong kerja yang diamanahkan boleh lagi melontarkan ucapan yang seperti itu. Maka, bibir berkata sambil tangan menolak kerja. Tinggallah beberapa orang yang terkebil-kebil di sana. Ya, sekali lagi saya kata, awak ‘mencacatkan’ Jemaah ini!

Teringat firman Allah SWT:

“Apabila telah datang pertolongan Allah dan Kemenangan.”

“dan engkau akan melihat manusia berbondong-bondong masuk agama Allah.”—Surah An-Nasr (1-2)

Bagaikan cendawan selepas hujan...

Tumbuh melata di sana-sini sampaikan kita keliru yang mana satu cendawan dan yang mana satu gerangan kulat kayu!!—Itu sunnah alam.

Kemuncup selepas kemenangan. Tumbuh selepas hujan dan hilang bila kemarau... Melekat di pakaian para pejuang yang melalui jalan ini. Ada yang boleh membuangnya kembali.. Ada yang tidak kisah sangat. Tapi sayang, ada yang berhenti kerana itu.. Berhenti sementara waktu tidak apa.. Tapi, berhenti dan terus pulang, yang ini bermasalah!

Pada hemat saya, ada kesan benarnya ijtihad Allahyarham Al-Fadhil Ustaz Fadzil Nor yang membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menubuhkan parti baru iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR). Agar jemaah ini tidak dihinggapi lebih banyak kemuncup. Mereka yang tidak pernah erti kenal dasar perjuangan yang sebenar.. Tidak pernah tahu asas jihad yang sepatutnya. Hanya sekadar semangat serta rasa tidak puas hati.

Itu takkan cukup.

Ketika mana jemaah mengamalkan dasar ‘langit terbuka’. Siapa sahaja boleh masuk dan boleh menjadi ahli. Sepatutnya kita sebagai pendokong mesti memainkan peranan. Bukan mengungkapkan cemuhan atau rasa keluh-kesah. Belajar dari Fagosit yang istiqamah melakukan proses fagositosis.

Ini tidak.... Berapa ramai kalangan kita yang menerima tarbiyyah secara terus lalu balik menjadi pendokong dan bukan hanya penonton? Tidak ramai... Kebanyakan kita suka berpeluk tubuh hinggakan tempat kosong di cawangan mahupun kawasan diisi oleh orang yang bukan selayaknya. Apatah lagi kalau yang mengisi ialah kemuncup!

Lalu kita nak salahkan siapa? Salahkan jemaah? Ops.. Berhati-hati dengan kata-kata!

Kemuncup atau tidak.. Cendawan atau kulat.. Mereka semua mad’u yang istimewa. Yang berani merelakan diri sebagai pendokong di dalam jemaah ini. Kita sewajarnya tabik dengan mereka! Apapun tinggal lagi pada tangan kita untuk Islahkan fikrah dan amal tradisi yang mereka bawa supaya tidak lagi menjadi bunga kemuncup yang melekat!

No comments: