Sunday, October 26
Pena tumpul?
Posting yang terakhir pada 28 Disember 2012. Sudah hampir 2 tahun!
Banyak yang ingin dikongsi sepanjang tempoh itu. Tetapi masa membatasinya. Kesibukan harian membelit tangan akhirnya pena menjadi tumpul buat sementara.
Apapun, teruskan perjuangan!
Salam Maal Hijrah 1436h!
Friday, December 28
Membina sistem kepercayaan anak
"Aallaaah, Allaaah, Allaaaah.."
Menyebut kalimat 'Allah' agak panjang, jelas, dan menggayakan mulut agar dia boleh menangkap bunyi serta aksi mulut saya.
Allah, Allah, Allah.
Alhamdulillah dia boleh berzikir dengan kalimat Allah tersebut. Cuma yang lucunya kadang-kadang tersasul dengan perkataan. 'Abah', 'Apa', dll. :) Ada juga ketikanya, dalam tandas pun nak sebut kalimat suci itu walhal makruh kalau ikut hukumnya.
Itulah dia keletah anak.
Anak kecil yang baru nak mengenal alam yang penuh cabaran ini.
Bila merenung air muka mereka, sebagai ibu bapa, akan terbit dua jenis perasaan. Yang pertama, gembira dan nikmat akan pemberian Allah yang tiada tolok bandingnya. Yang kedua, akan ada perasaan gerun. Apakah kita sebagai ibu dan ayah mampu mendidik mereka hingga ke titian Jannah?
Saya pernah menulis kebimbangan ini sewaktu bujang dahulu. Anak, Amanah yang akan di tanya.. (link)
MEMBINA SISTEM KEPERCAYAAN ANAK.
Membina sebuah bongkah ais yang hebat dan gagah memerlukan sebuah proses yang panjang. Begitu juga sistem kepercayaan anak. Yang menjadi bekalan iman di hari dewasa kelak.
Ia bermula sejak dari anak itu memberikan respon terhadap alam. Sejak dia mengenal bunyi, cahaya, dan perasaan.
Kadang ada perasaan ragu, mengajar mereka sebutan seperti Allah dan sebagainya, betulkah dia faham sebutan tersebut seperti mana kita memahaminya dan mengimaninya?
Sudah tentu jawabannya tidak.
Tetapi percayalah bahawa ia merupakan sebahagian daripada permulaan sebuah proses pembinaan sistem kepercayaan anak. Bongkah ais yang hari ini kita nampak gah, sebenarnya terbit dari sebuah proses yang pada suatu ketika dulu hanyalah gumpalan-gumpalan kecil yang orang menganggapnya remeh.
Sebab itulah setiap elemen penerapan sistem kepercayaan anak (keimanan) jangan dipandang ringan.
Apa yang mereka tutur.
Apa yang mereka lihat.
Dan apa yang mereka dengar..
Mestilah diupayakan untuk menjurus kepada objektif pembinaan sistem kepercayaan yang berlandaskan pegangan Quran dan Sunnah.
VIRUS DAJJAL
"Keputusan-keputusan harian kita, merupakan jelmaan perisian dalaman diri yang menjadi sasaran serangan Dajjal, dan Surah al-Kahf pula melindungi perisian itu daripada serangan tersebut."-Abu SaiF
Membaca tulisan Abu Saif dalam laman sesawangnya tentang 'serangan Dajjal terhadap perisian iman' membawa kita berfikir sejenak, apakah virus itu berkemungkinan wujud di dalam rumah kita sendiri?
Ini yang menggusarkan.
Bukan bermaksud mengambil keputusan menghumbankannya ke laut. Cuma berusaha memberi perhatian terhadap kandungan dan moral yang ingin di sampaikan oleh salah sebuah alat media tersebut.
Kerana ketika mana sang anak melalui proses pembinaan sistem kepercayaan kritikal seawal usia mereka yang mana upaya pertimbangan baik-buruknya hanya 'sekepal' tangan, bimbang-bimbang ketika itulah virus Dajjal mencurahkan asidnya tanpa sedar.
Alhamdulillah. Hari ini nursery, pusat-pusat asuhan dll. telah mempunyai modul islamik tanpa hanya mengharapkan sang televisyen menghiburkan anak-anak semakin mudah untuk didapati.
Tinggal lagi pilihan di tangan kita sebagai ibu bapa.
Ya Allah, kami tiada upaya mendidik melainkan dengan wahyuMu dan ketentuanMu.
Bantulah kami ya Allah.
Bimbinglah kami agar kami jua dapat membimbing anak-anak kami ke jalanMu yang lurus.
Tuesday, October 23
Hadiah buat Ummi!
Sebulan lagi anak kami, Sheikh Ahmad Yassin Jr. akan menyambut setahun kelahirannya..
Maknanya, sudah hampir 2 tahun jugalah usia perkahwinan Abu Ahmad dan Ummu Ahmad jika dikira mengikut peredaran masa.
Bila dikenang, sungguh cepat masa beredar. Seolah baru semalam Ahmad lahir tapi kini dah pandai memberikan respon seperti orang dewasa.
Bulan Oktober dan November antara bulan yang cukup bermakna.
Oktober untuk bulan lahir Ummu Ahmad.
Manakala November hari permata kesayangan kami Ahmad Yassin Nasrullah. :)
Puas saya fikir hadiah apa paling bermakna buat Ummu Ahmad. Nak bagi apa ye yang paling best?
Jam tangan? Cincin emas? Ciuman kasih-sayang seorang suami? Atau apa ye..?
Tapi.. Sebenarnya hadiah yang paling istimewa buat para isteri ialah 'Suami yang Soleh'.
Betul tak?
Saya cuba menasihati diri, apapun hadiah yang nak kita berikan buat si isteri tercinta, jangan lupa juga hadiahkan diri kita buat mereka sebagai Suami yang Soleh.
Jadilah suami yang sentiasa menambah ketaatan kepada Allah.
Itulah hadiah yang paling bermakna buat si dia.. :)
Insha Allah!
Monday, November 21
Baitul Muslim: Peranannya

Assalamualaikum wr.
Saya ada kenal beberapa teman yg bekerja sebagai Tutor mahupun Pensyarah. Alhamdulillah sejuk hati melihat sikap dan perangai mereka terutamanya bab menjaga solat fardhu. Sering juga saya berjumpa dgn rakan-rakan ini di Musolla fakulti untuk menunaikan Dhuha kalau tidak pun membaca mashaf Al-Quran. Saya boleh kata, mereka pemuda yg baik dan soleh.
Pernah saya ajukan soalan...
"Bila nak kahwin?"
Jawaban yg selalu saya terima..
"Engkau carikan la...". "Belum ada jodoh lagi..". "Belum jumpa..". "Nak kahwin dgn siapa..?". "Memang nak kahwin.. Tapi siapa yg mahu?".
Kita boleh kata, orang lelaki senang nak cari pasangan... Apa nak bimbang? Lelaki!
Tapi, tidak semudah apa yg kita kata. Realitinya, ramai juga pemuda yg baik dan soleh masih 'tercari-cari'. Antara sebab yg mungkin saya boleh senaraikan di sini ialah:-
1. Nak kahwin, tapi belum ada calon.
Pemuda yg baik semestinya mahukan wanita yg baik ataupun solehah. Baik di mata yg memandang mahupun di sisi agama. Pemuda ini sudah bersedia dari sudut peribadinya dan juga materialnya, tapi berdepan dgn kepayahan mencari calon. Mungkin disebabakan suasana dan sekitaran kerjanya tidak ada calon yg didambakan.
2. Nak kahwin, ada calon, tapi tidak tahu bagaimana?
Ya, ada juga kes yg saya jumpa pemuda ini menaruh harapan dgn seseorang. Tetapi oleh sebab rasa segan, dia tidak berani utk menyatakan hasratnya kepada wanita pilihannya. Bukan juga kerana terlalu malu atau tidak 'gentleman', tetapi memikirkan soal kesucian hati itu lebih utama dari segala-galanya. Maka apa yg berlaku, proses supaya terbinanya sebuah rumah tangga sakinah terbantut. Walhal, kemungkinan muslimah yg menjadi pilihan itu tertunggu-tunggu kehadiran pemuda tadi utk melamarnya.
BAITUL MUSLIM: Peranannya
Sewaktu belajar di Universiti dahulu. Melalui Persatuan Mahasiswa Islam, kita ada sebuah sistem yg dinamakan sebagai Baitul Muslim. Baitul Muslim ini dikelolakan oleh para asatizah iaitu Ustaz mahupun Ustazah yg berautoriti. Mereka menjadi 'orang tengah' untuk memudahkan para pemuda mahupun pemudi yg telah bersedia utk bernikah. Dlm sirah Nabi SAW, junjungan kita telah dilamar oleh Saidatina Khadijah melalui sahabatnya Nafisah. Beliau adalah orang tengah antara Khadijah dengan Nabi SAW. Peranan sbg orang tengah itulah yg diaplikasikan dalam Baitul Muslim.
Persoalannya? Berapa ramai yg tahu tentang Baitul Muslim?
Saya pernah berdiskusi dgn Prof. Madya Dr Hussin Solomo semasa menyambung pengajian di peringkat Pasca. Perbincangan kami seputar kaedah dan cadangan alternatif utk menangani kes-kes pelajar yg 'terlanjur'. Hinggalah antara output perbincangan tersebut menggagaskan idea supaya perlu ada sebuah badan bertindak yg menyelia 'keinginan' mahasiswa dan mahasiswi yg mahu berumah-tangga.
Ya, kita mungkin sering berteriak dan mengutuk pelajar yg couple atau membonceng ke hulu dan ke hilir. Tetapi, kita kurang mencadangkan alternatif utk mereka. Saya fikir, dgn tertubuhnya badan tersebut, ia boleh memanggil para pelajar dan menasihati mereka bagaimana kaedah yg paling tepat utk 'menguruskan cinta'. Atau mereka yg sedang mencari jodoh yg soleh atau solehah, badan tersebut boleh menawarkan diri sebagai orang tengah. Dan kalau boleh, badan tersebut juga dapat menyumbangkan sedikit dana galakkan kepada sesiapa yg bernikah sewaktu di alam universiti.
Itulah aspirasi kami. Tapi, saya tidak sempat merealisasikannya..
Dalam contoh kes yg saya katakan di awal tadi, teman pemuda yg masih 'mencari'. Peranan Baitul Muslim amat-amat diperlukan.
Bagi kes 1, nak kahwin tapi belum ada calon. Melalui Baitul Muslim, mereka boleh mencadangkan calon-calon muslimah di tempat lain yg mungkin juga sedang 'mencari'. Ia bukan bermaksud memaksa pemuda tadi utk berkahwin. Cuma sekadar mencadangkan dan memudahkan urusannya. Jika setuju melalui sesi taaruf (berkenalan) bersama wali muslimat dan juga wakil Baitul Muslim, maka proses seterusnya diusahakan supaya rumah-tangga dapat dibina.
Inilah proses yg terbaik untuk mendirikan rumah-tangga kerana berlepas dari fitnah dan pada masa yg sama soal fitrah iaitu cita-rasa, sekufu, dan sbgnya juga turut dipenuhi melalui sesi taaruf.
Juga bagi kes yg ke-2.
Kesimpulannya, negara yg baik yg dinamakan oleh Allah Swt sebagai 'Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghaffur' adalah terbina dari masyarakat yg baik dan soleh. Pastinya masyarakat yg baik tadi terbina dari keluarga yg baik lagi rukun. Dan keluarga yg baik sudah tentu dtg dari pasangan suami dan isteri yg baik dan taat berugama.
Saya kira, Baitul Muslim perlu diluaskan peranannya hingga ke masyarakat yg berada di luar. Mungkin utk membina sebuah sistem sebegitu yg benar-benar sempurna dan tersusun mengambil masa dan tempoh yg lama.
Saya cadang, buat masa ini KITAlah semua berperanan sebagai penggerak Baitul Muslim. Dlm konteks maknanya, walau siapa kita, kita nak melihat semua pemuda yg soleh bertemu dgn jodohnya pemudi yg juga solehah.
Jika kita;
1. Sebagai Ayah
Kita didik anak-anak agar menjadi pemuda yg soleh dan pemudi yg baik serta solehah. Lebih ramai mereka yg taat beragama, maka lebih banyak peluang untuk mendapatkan jodoh yg terbaik sesuai dgn tuntutan Al-Quran. Dan bila kita nak cari pasangan utk anak perempuan, kita carikan mereka yg baik-baik agar keluarga yg baik-baik akan bertambah.
2. Sebagai Ibu
Kita nasihat anak lelaki agar mencari pasangan baik. Dan apa bila anak perempuan kita dilamar pemuda yg baik, jangan beratkan dia dgn macam-macam tuntutan adat atau material. Sehingga proses ke arah pernikahan menjadi lambat dan membuka kpd berlakunya fitnah. Ingatlah mafhum hadis NAbi SAW melalui riwayat Imam Muslim yg melarang berbuat demikian.
3. Sebagai orang biasa@orang kebanyakan.
Mari kita berusaha menjadi hamba Allah yg baik. Ingatlah bahawa Allah Swt berjanji, mereka yg berusaha utk menjadi baik akan diberikan jodoh yg juga baik. Insha Allah semuanya sudah tercatat di Luh Mahfuz Allah Swt. Bagi yg dah berkeluarga, pandang kiri dan pandang kanan, jika terlihat ada rakan-rakan yg baik lagi Soleh, bantulah mereka agar dapat berjumpa jodoh masing-masing..
Insha Allah itulah peranan kita bersama.
Wallahu a'lam.
Thursday, August 26
Barakallahu lakuma...

Barangsiapa yang bernikah maka ia telah sempurnakan separuh dari agamanya.
“You all already married?” Tanya pelajar PHD dari negara Pakistan itu.
Zafar memang sering mengusik kami. Dia pelajar paling senior di kalangan group researcher yang ada di IVAT.
Hafizi panggil ia Bapa!
“Not yet. That’s why we can stay on the lab until night…” Jawab rakan sepengajian saya itu. Separuh melawak.
“Why?? Why so late for married?” ‘Bapa’ kami ini membuat provokasi.
“You said that we are late?” Berkerut dahi Hafizi.
“Yeah… I am 21 years old when I got married. Then now I have six children!” Bangga benar dia bercerita. Kami cuma tersenyum. Wow! Great story…
“Yup. Recently you are in Pakistan. But for Malaysian, we have a different story. Maybe because of different culture…” Saya pula menyampuk. Sekadar menambah ‘perencah’ barangkali.
“What you mean?” Dia menggaru-garu kepala. Kali ini tampak serius.
“Because here only one season. Khatulistiwa… Not four season like in Pakistan!”
Saya dan Hafizi ketawa. Zafar ikut ketawa sekali. Tahu benar dia yang kami hanya ‘menggoreng’. Sekadar mahu merancakkan bual-bual petang. Sekali-sekala terasa riang juga di makmal ini. Hilang seketika ketegangan yang ditinggalkan oleh ‘misai-misai lentik’ para Profesor penyelia...
“Have you heard a short story from Bernard Sha?” Aik? Tak habis lagi ‘bapa’ kami ni dengan ceritanya…
Saya memandang dia yang galak bercakap sambil memantau tangannya agar tidak menyentuh transformer yang sedang beroperasi setinggi 12 000 Volt! Hati-hati Bapa… Kami tidak mahu ada cerita dari makmal ini disunting oleh Harian Metro nanti!
Bernard Sha. Seorang Ahli Falsafah Inggeris. Katanya;
Suatu hari, ada seorang wanita datang melamar Bernard Sha. “Sudikah Tuan berkahwin dengan saya?” mohon wanita muda ini.
Jawab Bernard Sha, “mengapa awak sanggup berkahwin dengan saya? Sedangkan saya tidak punya rupa paras yang menarik?”
“Sebab Tuan punya pengetahuan tinggi. Sudah pasti anak saya nanti akan mewarisi kebijaksanaan Tuan.” Wanita tadi menjawab dengan yakin.
“Iyakah? Kalau begitu jika anak tadi berwajah seperti saya dan kemudian mewarisi kebijaksanaan anda, maka sudah tentu ia tidak punya apa-apa!” Ujar Bernard Sha.
***
Zafar tersenyum memandang kami berdua.
‘Ya Allah, orang tua ni kalau dah berfalsafah’… Saya dan Hafizi termangu. Lama memerah fikiran. What the moral of this story? We wonder….
Jika anda di luar sana punya ‘hikmah’ di balik cerita ini, simpanlah ia untuk kenang-kenangan!
------------------
Entri kali ini saya ambil kesempatan untuk mengucapkan:
Selamat untuk bakal-bakal Pengantin Baru;
Sahabat baikku ‘Sham Pepe’ & ukhti Jawahir.
Sahabat baikku Dzulhusmie & pasangan..
Kakak tersayangku, Dr June & bakal Abang iparku…
-Barakallahu lakuma wa’alaikuma wa jami’a bainakuma fii Khier-
Moga kalian bertaut dengan ikatan cinta hingga ke syurga!
Mudah-mudahan makin kukuhlah langkah kalian menapak di jalan dakwah ini!
Ameen ya Allah………..
Thursday, July 29
Mertua, Menantu, Cucu

As-Syahid Imam Hasan Al-Banna
Beberapa hari lalu, saya sempat menelaah sebuah buku yang menceritakan latar belakang seorang tokoh iaitu Sheikh Sa’id Ramadan Al-Buti. Kebetulan saya memang ingin membaca profil tokoh ini kerana pengajian Sirah di rumah setiap minggu menggunakan kitab hasil tulisan beliau.
Apa yang menarik dan baru saya ketahui rupa-rupanya Sheikh Ramadan Al-Buti ini adalah menantu kepada tokoh gerakan reformis Islam yang terkenal abad ini iaitu Imam Hasan Al-Banna. Subhanallah...
Mengapa saya terlepas info hebat ini? Bahkan ramai yang tidak sedar bahawa Imam Hasan Al-Banna punya menantu yang unggul di gelanggang dakwah sehingga menjadi buruan pihak berkuasa Mesir.
Jadi tekad saya hari ini untuk menulis sedikit bagi berkongsi maklumat kepada sahabat-sahabat yang belum tahu. Bagi yang dah lama tahu ambillah sebagai kisah teladan untuk meneruskan pelayaran hidup di dunia ini.
Ingatlah generasi yang hebat tidakkan terhasil melainkan dari benih yang hebat!
KISAH SI MENANTU
Sheikh Sa'id Ramadan Al-Buti
Legasi Imam Hasan Al-Banna cukup luar biasa... Sudah tentu orang yang menjadi pilihan hati beliau bagi mengahwini putrinya semestinya juga luar biasa. Orang tersebut mestilah mewakafkan seluruh hidupnya untuk dakwah serta berjihad demi melihat kemenangan Islam.
Dialah Sa’id Ramadan!
Beliau masih seorang remaja ketika berkenalan dengan Al-Banna. Tetapi komitmennya untuk kerja-kerja dakwah sudah terserlah diawal umur semuda itu. Sehinggakan Imam As-Syahid Al-Banna melantik beliau untuk menjadi setiausaha khas ketika usianya baru menjangkau 20 tahun.
Said Ramadan juga merupakan graduan termuda dalam bidang perundangan di Fakulti Undang-undang Universiti King Foud Kaherah. Pada masa yang sama menjadi penulis tetap dalam ruangan majalah pertama Ikhwanul Muslimin, as-Syihab.
Ketika krisis Palestina berkecamuk pada 1948, Sheikh Sa’id Ramadan diberikan kepercayaan oleh Imam Al-Banna untuk mengetuai misi jihad ke Palestin dengan dibantu oleh mufti Palestina ketika itu, Syeikh Amin Al-Husaini. Namun amat menyedihkan kerana ketika itulah perdana menteri Mesir mengkhianati jemaah Ikhwanul Muslimin dan Sa’id Ramadan terpaksa meninggalkan bumi Mesir.
Beliau bersama keluarga pernah duduk menetap di bumi Lubnan, Pakistan, Baghdad, serta berakhir di Switzerland.
KISAH PARA CUCU
Dr Tareq Ramadan
Benarlah kata orang benih yang baik dibuang ke laut menjadi pulau dan bila dibuang ke darat menjadi gunung.
Begitulah juga apa yang berlaku dengan Sheikh Sa’id Ramadan. Beliau bukan sahaja berjaya mengembangkan fikrah ke serata bumi yang dijejaki bahkan melahirkan dua orang lagi tokoh dakwah kontemporari yang terkenal iaitu Dr Tareq Ramadan dan Dr Hani Ramadan!
Dan cucu Imam Al-Banna ini turut digelar ‘Penyala Obor Islam’ di Eropah hasil dari komitmen dakwah mereka di sana...
-------------------------------------------------------
Moga-moga Allah SWT mengurniakan kepada kita generasi keturunan yang mengungguli kerja-kerja dakwah. Kalau tidak sampai ke tahap itu kita pohon moga Allah kurniakan sekurang-kurangnya generasi yang sentiasa Istiqamah membuat kerja dakwah... Insya Allah.
Tuesday, May 4
Nak biasa atau luar biasa?
Dalam sejarah peradaban cinta….
Tiadalah yang luar biasa dari kisah dua orang kekasih Allah, Nabi Ibrahim AS dan isterinya Saidatina Hajar. Tatkala Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim untuk meninggalkan isteri tercinta bersama anak tersayang Nabi Ismail di bumi kering kontang Makkah dengan kadar yang segera….
“Apakah ini kerana Allah?” Tanya Hajar pada suaminya.
“Ya. Duhai isteriku, semua ini kerana Allah!” jawab Ibrahim sambil berlalu. Tanpa menoleh, tanpa berpaling.
Mendengar jawaban itu, Siti Hajar tidak berkata apa-apa lagi. Menerima dengan bulat akan ketentuanNya. Ujian pada sebuah cinta...
CINTA PADA KHALIK MELEBIHI MAKHLUK
Demi cinta Khalik yang mengatasi cinta pada makhluk.
Jangan menyangka derita hanya pada Siti Hajar yang ditinggalkan, bahkan lebih lagi pada Nabi Allah Ibrahim yang meninggalkan. Namun, saat itu Ibrahim sudah nekad. Cinta pada Allah itulah yang lebih utama!
Sedikit pun tiada ucapan terlontar dari bibir seorang isteri sekaligus ibu bernama Siti Hajar yang seumpama hari ini. Atau dengusan protes tanda kurang bersetuju. Bila Nabi Ibrahim menyatakan, semuanya kerana Allah... Maka tenanglah jiwanya. Dan amanlah dia dari prasangka...
Sehemat saya, hari ini tiada isteri seorang pejuang dakwah yang diuji sehebat Saidatina Hajar.
Ujian bagi muslimah hari ini hanyalah ditinggalkan sekali-sekala. Namun, bukan sedikit yang berkeluh-kesah...
BAYARAN ‘CASH’ DARI ALLAH!
Ujian cinta tidak habis disitu... Nabi Ismail AS meronta-ronta minta disusukan walhal air susu sudah kekeringan. Saat tiada siapa yang mampu memberikan pertolongan, maka Hajar berlari-lari dari bukit Safa dan Marwa’ dalam keadaan kebingungan.
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Sambil tangannya dihalakan kepada Kaabah sebagai isyarat menyerah diri. Hanya kepada Allah SWT sahaja segala kekuasaan dan pertolongan!
Nah! Saat itulah Allah bayar secara ‘tunai’ harga cinta yang dibuktikan oleh sepasang suami-isteri yang sepatutnya hari ini menjadi tauladan. Kun Fayakun, maka terpancarlah mata air Zamzam yang menyuburkan lembah Makkah yang gersang!
Begitulah seandainya cinta diikat tulus kerana Allah, ia akan subur bukan hanya dalam rumah. Bahkan mengalir diluar rumah...
BIASA ATAU LUAR BIASA?
Antara dua dialog....
“Malam ni ada usrah?” Tanya si Isteri.
“Haah... Tapi abang bimbang dengan si Aidil tu. Dia kan tak sihat.” Jawab suami ikhlas.
“Takpe. Abang pergi usrah.. Insya Allah, sayang akan jaga dia nanti.” Isteri meyakinkan.
Agak luar biasa!
Satu lagi....
“Malam ni ada usrah?” Tanya si Isteri.
“Haah.” Jawab suami pendek.
“Habis? Macam mana dengan Aidil tu?” Isteri mula menguji cinta suaminya.
“Takpe. Abang dah cakap tak boleh datang usrah malam ni.”
Yang terlalu biasa!
Wahai para Muslimah, sekali-sekala pilihlah yang LUAR BIASA... Moga anda jadi sang Hajar yang istimewa!