Wednesday, August 26

Catitan sempena ramadhan

Pejam celik, pejam celik.. Rupanya dah masuk 5 Ramadhan.. Maknanya, tinggal 25 hari lagi untuk melangsaikan segala tuntutan dan juga tawaran jual beli yang diberikan oleh ‘Azza wajalla.. Tawaran lumayan yang tak pernah dikecapi oleh umat-umat terdahulu! Betapa beruntungnya menjadi umat Muhammad SAW.

Universiti Ramadhan..

Subhanallah.. Bulan yang penuh istimewa ini menzahirkan segala macam tingkah laku manusia yang betul-betul mahu merebut segala ganjaran Allah SWT.. Di sinilah kita melihat betapa kerdilnya diri kita di sisi Allah.. Jangankan nak banding dengan para Auliya’ yang terdahulu.. Banding dengan pakcik-makcik yang ada sekeliling pun dah cukup.. Betapa mereka sungguh merindui syurga Allah berbanding kita yang kadang-kadang masih diliputi oleh ‘kulapuk malas’!

‘Kulapuk malas’—Merasa diri masih muda dan terlalu awal untuk bermujahadah secara maksima.

Sabda Rasulullah SAW:

"Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan."

Bulan Ramadhan sepatutnya menjanjikan satu lembaran baru kepada kita.. Meninggalkan segala paradigma lama yang mahu bersenang-senang.. Mengubati segala maksiat lampau yang diperbuat atas dasar desakan syaitan dan nafsu yang tertawan.. Dan juga mengikis segala sifat yang berlawanan dengan fitrah penciptaan.

Semuanya kerana janji Allah SWT melalui lidah Rasul yang tercinta, iaitu ketika ramadhan semuanya dipermudahkan bagi kita.. Bahkan syaitan yang selama ini mengekori gerak-geri kita telahpun dibelenggu!

Tapi mengapa masih MALAS?

Jawabannya mudah saja.. Itulah kita! Kalau nak tahu siapa kita yang sebenar, maka tengoklah ‘kita’ ketika ramadhan.. kalau ‘kita’ masih bermalasan untuk beramal.. Itulah ‘kita’! Kalau jiwa kita masih mencintai kemaksiatan.. Itulah ‘kita’! Kalau ‘kita’ masih berputar-putar dengan perilaku yang langsung tidak meberi manfaat kepada Islam.. Maka lagi sekali jawabannya ialah, Itulah kita! Kita yang sebenar..

‘Kulapuk malas’ yang dibajai oleh Syaitan telah berhasil memutik dalam jiwa kita dan lantas berbuah ketika ramadhan menjelang.. Walaupun syaitan telah dibelenggu, tapi diri kita masih dengan penyakit bermalasan.. Asbab ‘kulapuk’ yang sudah berbuah dan melekat dalam hati..

Moga kita terhindar darinya.

Bulan ramadhan bulan Quran.

“Ban Bin Bun”

“Tan Tin Tun”

“Than Thin Thun”

Rasa terubat hati dan mata jadi seronok memandang beberapa kumpulan halaqah yang dianggotai oleh kanak-kanak yang tinggal di sekitar masjid barangkali.. Mereka bertadarus sesama sendiri.. Memperbaiki dan menampal segala kelompangan bacaan Quran.. Walaupun hanya sekadar kitab Muqadam!

Sehinggakan kadang-kadang diri ini merasa malu dengan kesungguhan mereka..

Besarnya peranan seorang ayah untuk mengambil inisiatif bersempena dengan bulan nuzul Quran ini untuk menerapkan unsur muraqabah dalam diri seorang kanak-kanak yang bernama anak.. Kanak-kanak sebegitu pastinya lahir dari ibu ayah yang tidak meremehkan unsur "merasa jiwa bertuhan" di dalam rumah.. Sehinggakan anak-anak boleh berdikari sendiri bagi memanfaatkan bulan Ramadhan sesuai dengan takat kemampuan mereka.

Kalaulah “Itulah mereka” ketika duduk di alam kanak-kanak.. Kita harapkan itulah juga mereka di kala berusia dewasa.. Kerana merakalah modal insan yang kita pertaruhkan untuk masa depan agama yang tercinta. Modal Insan; mereka yang melengkapi akal, hati budi, sikap, perasaan, hati nurani dengan berpandukan wahyu Quran. Modal insan yang mencedok gagasan generasi Al-Fatih!

Generasi Al-Fatih.

Sedihnya hari ini tidak ramai yang berfikir ke arah merealisasikan impian itu.. Impian melihat generasi baharu, Generasi Al-Fatih.. Inspirasi dari seorang pemimpin muda yang menawan Kota Konstantinople. Dan dialah juga sebaik-baik Amir (ketua).. Biarpun generasi itu adalah tinggalan sejarah..

Apakah semuanya itu tidak boleh diulang?

Nabi pernah bersabda bahawa sebaik-baik generasi ialah sahabat dan seterusnya taabi’ dan kemudian taabi’iin.. Tapi, Nabi juga pernah bersabda sebaik-baik Amir (ketua) ialah amir yang dapat menawan kota Konstantinople dan sebaik-baik jundiy (askar) ialah jundiy pada zaman itu.. Sekaligus dua hadis ini membawa maksud secara maknawiah bahawa sejarah kegemilangan umat ini boleh dicapai di sepanjang abad kewujudannya samada dulu, kini dan selamanya.. Tidak kira zaman mana kita berada..

Asalkan segala "pra-syaratnya" dapat dipenuhi dan tahap kualiti umat adalah setanding dengan umat-umat terdahulu yang telah pun mengecapi sejarah kegemilangan masing-masing..

Apakah kita mampu melakukannya?

Insya Allah.. Kita harapkan graduat Universiti Ramadhan kali ini mampu melakukannya! Ameen.

Sunday, August 23

...rindu...

"Dedikasi puisi ini kutitipkan buat adik-adik Usrahku yang dikasihi [link]; Moga ukhuwwah kita semua sentiasa lestari di sisi Allah SWT.. Insya Allah."

Katakanlah,
Jalan terbuka ini

Yang menjalar dari puncak gunung, melengkar
Lembut perlahan, berhenti sebentar di titian.
Di arus sungai telah ku lempari batu-batu kecil
Di ujung embun menitis sebuah rindu

Aku mencairkan cinta
Kau melihat ku
Begitulah saat-saat keinginan diri
Terbentur
Ujung tumit ku yang pecah

Dari retakan terhalus
Membelah dan perih tiba-tiba menyentuh air masin laut-Mu

Mata kian pedih bila malam-malam menunggu
Kau, Kekasih

Ya Rahman wa ya Rahim,,

tenangkanlah gelora rinduku sebagiamana engkau menenangkan ombak pantai yang menghempas..

Aku melutut di rahmat-Mu
Sebuah cinta sebenarnya berada

Di “kepak”-Mu, aku menghulur tangan
Menampung titis suci
Di taburan haruman kasih
Aku telah kelu,

Tuhan ku

Bersama-Mu
Cinta menjadi manikam dengan seribu warna
Sekalian para kekasih menghimpun kenangan

Semua telah menepikan janji
Atau aku yang dulu sering membisiki dan merindui
Kini

Cinta menjadi satu
Aku telah masuk ke awan terbelah
Ke sebuah pintu rela

Penentuan-Mu, ya rabbi.

Ubah-suai dari, Siti Zainon Ismail (Laman: Dunia Penyair)

****

Friday, August 21

Warkah dari timur,,

Sahabatku,,

Banyak orang punya hobi.. Ada orang suka mengumpul syiling atau setem.. Ada yang suka menghias rumah atau memasak.. Ada pula yang suka memblogging atau bermain Facebook.. Tidak kurang yang menghabiskan masa dengan bersukan.

Banyak orang suka membaca.. Tetapi minat membaca mereka berbeza-beza.. Sesestengah orang hanya membaca surat khabar atau komik, ada yang suka membaca novel, dan ada yang minat buku astronomi, haiwan liar, atau penemuan tekonologi..

Kalau saya minat membaca buku-buku sastera dan karya-karya silam, saya tidak boleh mengharap orang lain juga mesti mempunyai minat yang sama.. Apatah lagi mahu memaksa! Kalaulah umpamanya saya seronok dan gembira menonton kesemua rancangan sukan di kaca TV, saya juga MESTI menerima hakikat bahawa ada orang lain yang bertanggapan sukan adalah sangat membosankan!

Apakah tidak ada benda di dunia ini yang boleh menarik minat semua orang??

Apakah juga tidak ada perkara di dunia yang boleh melibatkan kesemua orang untuk mengambil bahagian??? –Tidak kira siapakah mereka dan di mana mereka berada..

Ya sahabatku.. Memang ada perkara yang SEPATUTNYA menarik minat semua orang.. Inilah jawaban awal kepada persoalan yang saya lemparkan..

PERSOALAN lahir dari rasa INGIN TAHU.

Sahabatku,,

Kalau kita bertanya atau bermonolog.. Apakah perkara yang PALING PENTING dalam hidup kita? Lantas, soalan ini jika kita ajukan kepada orang yang kebulur.. Jawabannya pastilah ‘makanan’.. Kalau kita tanya soalan yang serupa kepada orang yang tengah kesejukan di kutub.. Jawabannya sudah pasti, ‘kehangatan’.. Dia mahukan kehangatan, kerana dia sedang berdepan dengan kedinginan yang membunuh.

Akan tetapi bilamana keinginan manusia seperti itu sudah dipenuhi..

Apakah akan ada lagi sesuatu yang dituntut oleh manusia? Apakah akan ada lagi benda yang dipingin oleh orang? Ahli falsafah silam berpendapat; Ya, pastinya ada! Mereka menyimpulkan melalui logika akal bahawa manusia tidak boleh hidup dengan makanan sahaja.. Manusia perlu lebih dari itu.. Manusia perlukan layanan dan kasih sayang.. Dan tuntas, tiap-tiap orang perlukan layanan dan juga kasih-sayang sekeliling!

Tetapi sahabatku.. Ada sesuatu lagi yang sepatutnya diperlukan dan dipingin oleh tiap-tiap orang yang duduk di alam ini.. Benda yang kadang-kadang tidak diendah mahupun dipeduli oleh orang.. Perkara itu ialah; meneroka jawaban kepada persoalan: “Siapakah kita dan mengapa kita berada di sini..? Iaitu dunia yang fana ini.”

Minat untuk mengetahui mengapa kita berada di sini bukanlah seperti minat mengumpul setem.. Bukan.. Orang yang meletakkan minat kepada soalan itu samalah seperti meletakkan diri kepada pentas perdebatan yang telah berlangsung selama manusia wujud di muka bumi ini.

Bagaimanakah alam ini, bumi ini, dan kehidupan dunia ini wujud? Sudah pasti soalan ini jauh lebih PENTING daripada soalan, Siapakah yang memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik tahun lepas!

***

Ada orang kata.. Cara paling baik untuk mendekati dunia falsafah ialah,, menanyakan beberapa soalan falsafah:

Bagaimana dunia tercipta?

Apakah ada KEHENDAK atau KEMAHUAN di sebalik apa yang diciptakan?

Dan.. Apakah ada KEHIDUPAN selepas KEMATIAN?

Bahkan.. Persoalan yang ‘maha’ penting.. Bagaimana kita SEPATUTNYA hidup??

Saya tidak pasti kalau ada zaman atau tamadun manusia sepanjang kewujudannya di dunia ini yang memperlekeh persoalan yang sangat besar ini.. Sedangkan jawaban bagi soalan inilah yang akan menentukan bagaimana corak dan orientasi mereka menjalankan kehidupan sehari-hari.

Sejarah yang tertampil menunjukkan banyak jawaban yang berbeza terhadap kesemua persoalan tadi. Sehinggalah kini tiap-tiap orang masih sibuk mencari jawabannya sendiri kepada soalan-soalan tadi.. Sedangkan hakikatnya, kita tidak akan berjumpa jawaban samada Tuhan itu wujud atau tidak dengan hanya membelek buku ensiklopedia! Bahkan, ensiklopedia itu tidak akan memberitahu langsung pun bagaimana kita seharusnya hidup di dunia ini.

Sahabatku,,

Usaha ahli falsafah untuk mencari KEBENARAN samalah dengan cerita “CSI”. Ada detektif yang percaya bahawa pembunuh ialah Anderson. Ada pula yang yakin pembunuh yang sebenar ialah Nielsen, atau Jensen. Mereka kadangkala boleh meneyelesaikan jenayah.. Tetapi ada masa mereka tidak akan sampai ke akar umbinya.. Walaupun penyelesaiannya ada, tapi jawaban itu tidak ditemui. Upaya manusia itu terbatas!

Yakinlah sahabatku bahawa, jawaban yang tidak ditemui bukan bermakna jawaban itu TIADA ataupun TIDAK WUJUD! Pastinya ada jawaban.. Bahkan banyak jawaban.. Tetapi, hanya SATU jawaban yang BENAR dikalangan jawaban-jawaban!

Usaha ahli falsafah untuk mencari jawaban mungkin boleh saja untuk dihargai.. Tapi, bukan sampai untuk diimani!

Sahabatku,,

Hari ini banyak keanehan dan masalah silam sudah dijelaskan oleh sains. Bagaimanakah rupa sebelah bulan yang gelap? –Suatu ketika dulu soalan ini dipenuhi oleh misteri.. Misteri seperti itu tidak boleh diselesaikan melalui kuasa daya imaginasi sahaja.. Tetapi hari ini, kita sudah meneroka jawaban kepada mesteri itu, dan tiada siapa lagi yang percaya bulan itu diperbuat dari keju (dongeng barat).

Seorang ahli falsafah Yunani yang lahir dua ribu tahun dulu percaya bahawa PERSOALAN bermula dari perasaan ingin tahu manusia.. Samalah seperti menonton pertunjukkan silap mata.. Kita tidak memahami bagaimana silap mata itu dilakukan.. Kita bertanya; bagaimana ahli silap mata boleh menukarkana beberapa helai skarf putih menjadi seekor arnab putih yang hidup?

Berhubung kes arnab itu, kita tahu ahli silap mata memang mengelirukan mata kita.. Tetapi kita masih juga ingin tahu.. Kita tetap nak tahu bagaimana dia dapat melakukannya?? Tetapi, bila berdepan persoalan dunia pula.. Kita tahu bahawa dunia ini bukan hasil silap mata, kerana kita berada dalam dunia ini dan kita sebahagian dari dunia ini. Malangnya, tiba-tiba rasa ingin tahu manusia itu tiba-tiba berubah.. Tak nak pula rasa penting untuk mengambil tahu.. Pelik bukan??

Tuntas, kitalah arnab putih sebenarnya yang dikeluarkan dari helaian skarf putih.. Cuma bezanya ialah kita berada dalam keadaan SEDAR sedangkan si arnab tidak sedar langsung yang ia sedang mengambil bahagian dalam pertunjukkan silap mata! Justeru, mengapa kita yang sedar ini masih bertangguh untuk berfikir lalu bertindak?

Sahabatku,,

Apakah kamu masih di situ? Masih setia membaca warkah ini.. Takpelah, saya kira mata kamu sudah kepenatan dan kebetulan tangan saya pun sudah lenguh-lenguh ‘menconteng’.. Kita sambung bicara ini dilain hari..

Terima kasih kerana masih setia!

Thursday, August 20

Salam Ramadhan Al-MubaraK


Daripada Abu Hurairah r.a , Bahawasanya Nabi Muhammad saw telah bersabda;

"Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan KEIMANAN dan PENGHARAPAN, maka akan diampunkan segala dosa-dosanya oleh Allah swt" -Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Apa FORMULA kita?

FORMULA mendidik anak seringkali menjadi topik buah mulut orang.. Tak kiralah di peringkat ibu bapa, guru-guru, pakar-pakar motivasi dan hinggalah tokoh-tokoh ilmuwan yang terkenal abad ini.. Walaupun, kajian dan penelitian mengenainya sebenarnya sudah ditekuni dan diturunkan secara ta’lim oleh para Ulama terdahulu termasuklah Guru teragung kita, iaitu Nabi Muhammad saw..

Namun.. Kita kadang-kadang tertanya, mengapa isu serta persoalan remaja ini tidak kunjung selesai?

Tidak teringinkah kita mahu melihat anak yang comel wajahnya juga comel akhlaknya?

Pagi tadi, ketika saya berhenti di sebuah restoran di ibu kota.. Saya dihidangkan dengan pemandangan yang mengoyak hati.. Lalu mata saya tidak berkedip memerhati sekumpulan remaja siap dengan uniform sekolahnya sedang bercanda dengan pasangan masing-masing sambil tangan kanan si lelaki memegang seberkas rokok.. Yang si perempuan pula tanpa rasa segan dan malu membiarkan saja badannya disentuh oleh entah lelaki mana..

Aduh.. Anak siapakah itu??

TIDAK.. Itu memang bukan anak saya.. Tapi, bagaimana kalau YA? Monolog bernada sendu seperti ini saya lemparkan berkali-kali kepada diri untuk menerobos hati bagi mencari jawaban ikhlas setulus mungkin..

Na’uzubillah!

Hari ini kita mengimpikan anak-anak remaja seperti zaman para sahabat sehinggalah banyak program serta aktiviti pembangunan sakhsiyyah dibuat di mana-mana... Ya benar, bukan persamaan mimik muka yang kita tagih, tetapi kita menginginkan kualiti remaja seperti zaman para sahabat terdahulu.. Kualiti ilmu, akhlak, ibadah, dan segala-galanya yang ada..

Namun, apa yang kita perhatikan ialah.. Draf yang diuliti oleh permasalahan terkini remaja, menyebabkan purata dot kualiti itu semakin hari semakin menjunam ke bawah.. Tidak, seperti yang diharapkan. Bukankah ini senario yang dahsyat untuk diterima?

Saya selalu melemparkan kepada diri.. Beberapa soalan situasi yang mudah..

Kalaulah hari ini saya seorang bapa, apakah perasaan saya jika mengetahui yang anak saya sudah pandai berjinak-jinak dengan rokok di sekolah? Misalannya situasi begini..

“Saya dipanggil ke sekolah.. Kemudian, guru disiplin dengan nada yang serak-serak basah; Encik Zulhilmey, saya nak bagi laporan yang anak encik merokok di tandas sekolah.. Saya dapat tahu yang encik bekerja sebagai pegawai tinggi kerajaan.. Tapi, macam mana encik tak boleh nak didik anak ye?”

Ya Allah.. Dahsyat! Bagaikan seluruh bulu roma saya terlepas dari badan akibat rasa malu yang teramat sangat dicampur dengan rasa marah dan jengkel kepada si anak...

Dapatkah saya bertahan? Ataupun mungkin selepas peristiwa itu saya akan pulang lantas menampar-nampar muka si anak untuk melepas geram sebab dimalukan di sekolah tadi?? Lalu, saya sekaligus memukul isteri dengan alasan dia tidak tahu mengajar anak??? Terdidikkah anak dengan itu? Jadi baik tak keluarga selepas itu?

Persoalan berangkai yang sungguh rumit! Itu baru sebatang rokok.

Nah! Itu sebab ada seorang pakcik mengajarkan.. Saya masih ingat lagi kata-katanya.. “Ramai orang berstatus bapa, tapi sedikit sahaja yang betul-betul MAMPU bekerja sebagai bapa!” Dalam sungguh maknanya.. Dan, saya menyimpulkan sinergi ilmu dan pengalaman amat penting bagi sesiapa yang bergelar lelaki.. Ilmu sahaja tidak cukup jika tiada perkongsian pengalaman praktikal dari orang-orang lama yang ‘berjaya’..

Kenapa lelaki? Sebab kamulah ketua keluarga.. Pemegang ‘kuasa pemutus’ dalam rumah tangga!

Saya pernah bertanya dengan ibu.. “Apa akan jadi kalau kita SELALU merotan anak jika ia melakukan kesalahan?”.. Simple sahaja jawaban ibu.. “Jangan suka merotan, nanti anak akan jadi lali.”.. Ironisnya, bila saya menyelak kitab keibu-bapaan bertajuk “Mas’uliyyatul Abilmuslimi fi Tarbiyyatil Waladi” karangan Sheikh Adnan Hasan Shalih turut menyebutkan jawaban yang serupa mengikut pandangan jumhur Ulama.. Sehinggakan disebutkan, hukuman rotan mestilah dihentikan serta-merta jika si anak menyebut kalimah Allah.

Bila masa ibu menuntut dengan Sheikh Adnan Hasan?

Memang tiada.. Sebab ia berlaku akibat proses ulangan yang akhirnya dipanggil sebagai pengalaman.. Dengan namanya pengalaman, mereka-mereka menjadi jauh lebih pakar serta berpengetahuan berbanding kita yang hanya berkesempatan sekali sekala menadah kitab diwaktu senggang.

Kata orang, “Ilmu jangan diabaikan.. Pengalaman jangan dikesampingkan.”

Bila sebut tentang ilmu pula.. Sekali lagi rasa sayu dan sendu menerobos jiwa kita.. Apa tidaknya disipilin ilmu Islam dalam menggarisi proses pendidikan anak-anak semakin hari semakin dipinggirkan orang.. Bukan orang lain.. Tapi, orang islam sendiri! Teori dan konsep Barat lebih disenangi dan diterima pakai sebagai pemandu.. Bahkan, ada yang sanggup mengakui keabsahan Teori Freud!

Jadi dimana sebenarnya perdu kaki kita bertapak? Benarkah masih dengan Quran dan Sunnah?

Sedikit perkongsian,,

Rasanya saya dah menghabiskan beberapa buah buku tentang keibu-bapaan dan sampai sekarang saya belum pernah berjumpa dengan metodologi pendidikan acuan Barat yang setanding dengan Islam! Sebabnya, acuan Barat hanya menyandarkan pendidikan kepada apa yang dinamakan sebagai logika akal, prinsip nilai, dan falsafah manusiawi yang diterima zaman.. Apakah ia layak bertanding dengan uslub pendidikan Islam yang meletakkan sandaran tertinggi iaitu Allah swt?

Pasangan ibu bapa akan meletakkan Quran sebagai rujukan pendidikan hanyasanya jika ikatan CINTA mereka juga didasarkan kepada kitabullah itu!

Lihat sahajalah kalimat masyhur Luqman Al-Hakim ketika beliau menasihati anaknya dengan bait-bait ini,

“Wahai anakku! Sungguh, jika ada perbuatanmu seberat biji sawi, dan berada dalam batu di langit ataupun di bumi.. Nescaya Allah akan memberinya balasan setimpal! Ingatlah! Allah itu Maha Halus lagi Maha Teliti sifatNya.”-Luqman: 16

Tuntas, tidak ada lagi sehingga ke hari ini sejarah manusia yang boleh menandingi kemasyhuran kisah Luqman Al-Hakim dengan anaknya.. Sampaikan dipilih oleh Allah untuk diajarakan kepada sekalian manusia melalui kitab Al-Quran.. Semua proses didikan adalah disandarkan kepada Allah yang punya sifat "ABADI".. Anak merasa sekecil-kecil perbuatannya akan diawasi oleh Allah swt.. Bukan mak bapa atau orang keliling!

Inilah yang sepatutnya diajarkan dan diterapkan sebagai “fundamental basis”. Kerana, inilah jua FORMULA kita yang sebenar!

myikhwanfiideen.

Kuala Lumpur, 19 Ogos 2009.