Pejam celik, pejam celik.. Rupanya dah masuk 5 Ramadhan.. Maknanya, tinggal 25 hari lagi untuk melangsaikan segala tuntutan dan juga tawaran jual beli yang diberikan oleh ‘Azza wajalla.. Tawaran lumayan yang tak pernah dikecapi oleh umat-umat terdahulu! Betapa beruntungnya menjadi umat Muhammad SAW.
Universiti Ramadhan..
Subhanallah.. Bulan yang penuh istimewa ini menzahirkan segala macam tingkah laku manusia yang betul-betul mahu merebut segala ganjaran Allah SWT.. Di sinilah kita melihat betapa kerdilnya diri kita di sisi Allah.. Jangankan nak banding dengan para Auliya’ yang terdahulu.. Banding dengan pakcik-makcik yang ada sekeliling pun dah cukup.. Betapa mereka sungguh merindui syurga Allah berbanding kita yang kadang-kadang masih diliputi oleh ‘kulapuk malas’!
‘Kulapuk malas’—Merasa diri masih muda dan terlalu awal untuk bermujahadah secara maksima.
Sabda Rasulullah SAW:
"Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan."
Bulan Ramadhan sepatutnya menjanjikan satu lembaran baru kepada kita.. Meninggalkan segala paradigma lama yang mahu bersenang-senang.. Mengubati segala maksiat lampau yang diperbuat atas dasar desakan syaitan dan nafsu yang tertawan.. Dan juga mengikis segala sifat yang berlawanan dengan fitrah penciptaan.
Semuanya kerana janji Allah SWT melalui lidah Rasul yang tercinta, iaitu ketika ramadhan semuanya dipermudahkan bagi kita.. Bahkan syaitan yang selama ini mengekori gerak-geri kita telahpun dibelenggu!
Tapi mengapa masih MALAS?
Jawabannya mudah saja.. Itulah kita! Kalau nak tahu siapa kita yang sebenar, maka tengoklah ‘kita’ ketika ramadhan.. kalau ‘kita’ masih bermalasan untuk beramal.. Itulah ‘kita’! Kalau jiwa kita masih mencintai kemaksiatan.. Itulah ‘kita’! Kalau ‘kita’ masih berputar-putar dengan perilaku yang langsung tidak meberi manfaat kepada Islam.. Maka lagi sekali jawabannya ialah, Itulah kita! Kita yang sebenar..
‘Kulapuk malas’ yang dibajai oleh Syaitan telah berhasil memutik dalam jiwa kita dan lantas berbuah ketika ramadhan menjelang.. Walaupun syaitan telah dibelenggu, tapi diri kita masih dengan penyakit bermalasan.. Asbab ‘kulapuk’ yang sudah berbuah dan melekat dalam hati..
Moga kita terhindar darinya.
Bulan ramadhan bulan Quran.
“Ban Bin Bun”
“Tan Tin Tun”
“Than Thin Thun”
Rasa terubat hati dan mata jadi seronok memandang beberapa kumpulan halaqah yang dianggotai oleh kanak-kanak yang tinggal di sekitar masjid barangkali.. Mereka bertadarus sesama sendiri.. Memperbaiki dan menampal segala kelompangan bacaan Quran.. Walaupun hanya sekadar kitab Muqadam!
Sehinggakan kadang-kadang diri ini merasa malu dengan kesungguhan mereka..
Besarnya peranan seorang ayah untuk mengambil inisiatif bersempena dengan bulan nuzul Quran ini untuk menerapkan unsur muraqabah dalam diri seorang kanak-kanak yang bernama anak.. Kanak-kanak sebegitu pastinya lahir dari ibu ayah yang tidak meremehkan unsur "merasa jiwa bertuhan" di dalam rumah.. Sehinggakan anak-anak boleh berdikari sendiri bagi memanfaatkan bulan Ramadhan sesuai dengan takat kemampuan mereka.
Kalaulah “Itulah mereka” ketika duduk di alam kanak-kanak.. Kita harapkan itulah juga mereka di kala berusia dewasa.. Kerana merakalah modal insan yang kita pertaruhkan untuk masa depan agama yang tercinta. Modal Insan; mereka yang melengkapi akal, hati budi, sikap, perasaan, hati nurani dengan berpandukan wahyu Quran. Modal insan yang mencedok gagasan generasi Al-Fatih!
Generasi Al-Fatih.
Sedihnya hari ini tidak ramai yang berfikir ke arah merealisasikan impian itu.. Impian melihat generasi baharu, Generasi Al-Fatih.. Inspirasi dari seorang pemimpin muda yang menawan Kota Konstantinople. Dan dialah juga sebaik-baik Amir (ketua).. Biarpun generasi itu adalah tinggalan sejarah..
Apakah semuanya itu tidak boleh diulang?
Nabi pernah bersabda bahawa sebaik-baik generasi ialah sahabat dan seterusnya taabi’ dan kemudian taabi’iin.. Tapi, Nabi juga pernah bersabda sebaik-baik Amir (ketua) ialah amir yang dapat menawan kota Konstantinople dan sebaik-baik jundiy (askar) ialah jundiy pada zaman itu.. Sekaligus dua hadis ini membawa maksud secara maknawiah bahawa sejarah kegemilangan umat ini boleh dicapai di sepanjang abad kewujudannya samada dulu, kini dan selamanya.. Tidak kira zaman mana kita berada..
Asalkan segala "pra-syaratnya" dapat dipenuhi dan tahap kualiti umat adalah setanding dengan umat-umat terdahulu yang telah pun mengecapi sejarah kegemilangan masing-masing..
Apakah kita mampu melakukannya?
Insya Allah.. Kita harapkan graduat Universiti Ramadhan kali ini mampu melakukannya! Ameen.
No comments:
Post a Comment