Wednesday, March 31

Pendidikan Seks: Ke mana arah kita?


Isu ini kembali hangat.

Perbahasan sedang berlangsung sekarang. Bukan di Dewan Negara atau Dewan Rakyat. Tapi di ‘parlimen kecil’. Kelas UHW: Islam, Sains dan Falsafah di bawah seliaan Prof. Madya Dr. Hussin Solomo.

Pendidikan seks di sekolah. Ke mana arah kita yang sebenarnya?

Saya tertarik dengan satu cerita yang dibentangkan oleh rakan tadi. Kisahnya begini:

“Ada seorang ayah ditanya oleh anaknya. Ayah, seks tu apa? Si Ayah terkejut. Lantas dengan berat hati dia pun bercerita. Seks, itu ini.. begitu dan begini.. bla bla bla bla bla dan bla.... Sehingga akhirnya anak tadi menangis ketakutan. Bila ditanya oleh ayahnya, kenapa menangis? Si anak sekadar mengunjukkan kepada ayahnya buku pelajaran sekolah. Rupa-rupanya yang dimaksudkan tadi ialah SEX iaitu jantina. Dan bukannya seks!!”

Bukan kerana skeptik. Cuma takut berlaku ‘out of sillybus’ seperti dalam cerita tadi!

Sudah menjadi kemestian isu ini sewajarnya dilihat secara holistik. Ya benar kita ingin menanggapi segala macam kebejatan yang berlaku dengan kaedah pendidikan. Tetapi bukanlah dengan begitu simplistik menawarkan subjek yang dari perspektif tajuknya pun sudah mengundang seribu macam persoalan dan bukannya jawaban yang meyakinkan!

Tetapi kalaulah yang menjadi arah matlamat kita ialah untuk memberikan pendidikan kepada sesetengah kanak-kanak yang menjadi ‘mangsa dalam kedaan tak tahu’, umpamanya kes sumbang mahram dan sebagainya. Sehemat saya, tujuan murni seperti ini perlu disokong tetapi dengan kaedah yang benar-benar teliti supaya silibus yang digunakan nanti adalah benar-benar tepat.

Apapun yang paling utama ialah... Pendidikan seperti ini mesti diajar kepada semua orang. Bukannya kanak-kanak atau pelajar sekolah sahaja. Termasuklah membetulkan orang tua dan sang dewasa!

Akidah, Syariat dan Akhlak. Dalam Islam, tiga aspek ini sentiasa berkait. Adik beradik kembar yang tidak boleh dipisahkan. Buang salah satunya maka ajaran Islam itu akan pincang. Akhlak umpamnya tidak akan terhasil tanpa akarnya iman dan batang serta ranting dari syariat kerana akhlak itu sifatnya buah. Mana boleh harapkan buah tanpa mula menanam pokoknya?

Maka, mendidik mereka yang dikhuatiri menjadi ‘mangsa’ dan pada masa yang sama menyantunkan mereka yang bertindak sebagai ‘pemangsa’.

Tegakkan syariat! Itu arah tuju yang semestinya jangan dilupa.

Coklat, Mentega dan Susu.


--Hanyalah sekadar hiasan mata--

Ia mungkin suatu perkara biasa apabila kita menyaksikan pelajar-pelajar Universiti berkumpul sesama etnik masing-masing. Fenomena biasa di alam kampus atau di bangku sekolah dengan alasan mereka lebih selesa berinteraksi sesama mereka. Melayu dengan melayu. Cina dengan rakan Cinanya. Begitu juga kaum india.

Ketika saya menulis ini pun, pemandangan itu berada di depan mata...

Pelajar India berbual sesama rakan dari kaumnya dengan bahasa Tamil. Tidak jauh dari tempat duduk mereka, ada kumpulan pelajar Cina yang bersembang dengan bahasa mandarinnya. Dan tidak ketinggalan pelajar Melayu bersama kawan-kawan yang juga Melayu. Bahkan, bila kita tinjau di dalam kelas, mereka akan memilih tempat duduk yang bersebelahan dengan pelajar dari etniknya sendiri.

Itu belum termasuk kumpulan kerja kursus, assignment, dan lain-lain hal lagi...

Fenomena seperti ini berlaku di dalam dunia akademia. Alam yang 100% penduduknya terdiri dari mereka yang terpelajar. Pun begitu kita masih risau seolah-olah ‘polarisasi perkauman’ itu masih wujud. Dan sememangnya kerisauan seperti ini adalah berasas. Kalau di dalam dunia yang penuh dengan manusia terdidik seperti itu masih berlaku suasana polarisasi, bagaimana yang di luar sana?

Yang jelas ialah... Polarisasi kaum atau bahasa mudahnya magnet kekutuban kaum sejenis ini bukan berpunca atau bermula di Universiti. Puncanya dari masyarakat universal yang terdiri dari pecahan tiga kaum terbesar di Malaysia. Inilah kenyataannya.

Gagasan 1 Malaysia kepada coklat, mentega dan susu.

Hemat saya... Gagasan 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri turut bermaksud untuk menanggapi serta menjernihkan keadaan yang saya maksudkan.

Cuma apa yang paling utama ialah, realiti transformasi dari polarisasi kepada satu magnet penyatuan bukan kerja yang mudah. Ia proses yang sewajarnya berlaku setapak demi setapak. Slogan seperti 1 Malaysia sebenarnya mesti mengambil kira usaha yang telah dirintis oleh gagasan yang sebelumnya. Bukan hanya pementasan idea yang tidak ‘berakar banir’.

Secara khusus, hubungan kaum dalam masyarakat majmuk di dalam negara ini belum lagi mencapai tahap keeratan yang sebenar. Yang kelihatan erat mahupun harmonis seperti yang dibangga-banggakan hanyalah pada lahiriahnya sahaja. Pada kulitnya. Ataupun sekadar lakonan penyedap hati pemimpin kaum di depan kaca televisyen umpamanya.

Saya tertarik dengan kata-kata Presiden negara China, Jiang Zemin (walaupun kata-kata beliau merujuk perkara lain). Izin untuk dikongsi:

“Tunggu sehinga air pasang itu surut dan lihatlah siapa yang tidak memakai seluar!”—Presiden China, Jiang Zemin.

Secara majoritinya, memang tidak salah kalau dikatakan bahawa kaum-kaum ini cuma berpura-pura mesra antara satu sama lain. Tetapi masing-masing di dalam hati wujud rasa iri hati, tidak senang, tidak selesa, malah rasa benci membenci yang kadang sukar dibendung dan kadang-kala diterjemah dalam bentuk keganasan sosial.

Bertambah parah lagi kalau ada kaum yang merasakan mereka ‘terjepit’. Maaf untuk saya sebutkan di sini umpamanya kaum India yang berasa terpinggir dari arus nasional sedangkan bagi mereka dua bangsa yang lain iaitu Melayu telah mendominasi sektor politik dan kaum Cina dengan kekuasaan sektor ekonominya.

Tuntas. Ia menjadi faktor penjejas kepada perpaduan sebenar yang diimpikan selama ini...

Coklat, Mentega dan Susu. Mustahilkah untuk sebati?

Maaf. Saya tidak bermaksud untuk rasis di sini. Apa yang saya nak utarakan ialah situasi semasa polarisasi yang dinilai berdasarkan warna kulit yang ada. Di tambah pula dengan perbezaan ideolog serta bahasa di kalangan tiga kelompok bangsa yang terbesar di negara ini. Apakah ia satu kemustahilan untuk mencapai tahap perpaduan yang unggul? Atau sebati seperti yang saya perkatakan...

Dasar kolonialisme terhadap negara ini membentuk nasionalisme berorientasikan etnik. Ini fakta yang termaktub!

Apabila orang putih meninggalkan negara ini pada 1957, serpihan ‘dasar pecah perintah’ peninggalan British menjadikan ia sebuah negara yang terbahagi kepada semangat etnik. Cina menguasai bidang perdagangan yang sebelum daripadanya perlombongan bijih timah. Melayu kepada bidang pertanian serta perikanan. Dan kaum India sebilangan besar mereka menjadi buruh di ladang-ladang getah.

Sehinggalah berlaku peristiwa berdarah pada tahun 1969! Akhirnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) mula diperkenalkan.

Itu sejarah....

Tetapi dewasa ini pada kiraan saya, polarisasi yang berlaku amat berbeza dengan sejarah silam yang dahulu. Maksudnya, polarisasi yang berlaku bukan hanya semata-mata simptom perbezaan tingkatan ekonomi. Bukan. Kerana jurang antara kaum Melayu, Cina, dan India ketika ini tidaklah jauh sangat dari sudut ruang pandang ekonomikalinya. Maka, apakah sebenarnya lagi yang menjadi kemustahilan kepada proses perpaduan ini?

Diagnosis penyakit yang BAHARU secara telus perlu dilakukan. Kerana penyakit seperti ini dibimbangi menjadi barah yang lebih besar. Metod pengubatan penyakit masyarakat perlu kepada pengubatan politik (political will). Kerana dari sistem politiklah yang akan menentukan segala-galanya...

Dasar kebangsaan..

Dasar perundangan..

Dasar ekonomi..

Dasar pendidikan..

Dan semua dasar yang berkait dengan negara serta masyarakat!

Coklat, mentega, dan susu. Mulakan dengan 1 Bahasa!

Apabila Mahathir memerintah bermula pada tahun 1981, beliau meneruskan usaha DEB bagi mengembalikan kekayaan kepada etnik Melayu dan Bumiputra. Pada masa yang sama, beliau menggunakan dengan baik kemasukan modal Jepun (Dasar Pandang Ke Timur) bagi memupuk semangat kebangsaan yang mengatasi semangat sempadan bangsa.Termasuklah slogan Wawasan 2020.

Cuma apa yang Mahathir ‘terlupa’, perubahan dasar pengajaran Sains dan Matematik kepada bahasa Inggeris adalah bertentangan dengan dasar ‘Japan Incorporation’ yang beliau gagaskan iaitu bangsa Jepun boleh maju di tangan sendiri dan bahasa mulut sendiri. Sedangkan bahasa Malaysia bukan sekadar bahasa komunikasi ilmu bahkan ianya modal komoditi utama perpaduan yang tidak sepatutnya dipinggirkan.

Dan yang terkini... Pemulihan perpaduan diteruskan sekali lagi dengan terlancarnya Gagasan 1 Malaysia. Kempen yang telah pun dilancarkan di mana-mana di seluruh negara. Tetapi, apa yang agak malang ialah gagasan 1 Malaysia ini banyak mengumpuk pada slogan dan bukan kepada suatu bahan yang menjadi teras kepada titik penyatu paduan yang boleh memberikan impak yang jelas.

Bahkan kita bimbangi gagasan yang pada mulanya bertujuan murni untuk memperbaiki semangat perpaduan akan menjadi ubat yang ‘tidak tepat’ ataupun terlebih dos! Ia suatu yang merugikan. Kita bukan nak membuat ‘kuih’ dengan ‘coklat’, ‘mentega’ dan ‘susu’!

Saya tertanya-tanya...

Mengapa kita tidak kembali kepada bahasa Malaysia seperti yang pernah dinyatakan di dalam laporan penuh Penyata Rahman Talib?

Kerana percaya ataupun tidak...

Dalam negara ini masih lagi ada penduduk yang tidak boleh berbahasa Malaysia! Jadi bagaimana untuk mencapai perpaduan kalau berinteraksi untuk satu bahasa yang sama pun tidak boleh? Walhal ketika ini (jikalau dasar kebangsaan yang menyentuh Bahasa Malaysia dilaksanakan secara serius sebelum ini) sepatutnya Bahasa Malaysia sudah menjadi ‘lingua franca’ yang boleh digunakan oleh sesiapa sahaja.

Ya konklusinya kita akan akur bahawa... Sebelum kepada penyeragaman ideolog sebagai prinsip asas manusia untuk menunjukkan siapa mereka dan menyatukan mereka kepada satu payung, ia tidak akan lari kepada soal yang pertama iaitu bahasa. Itulah mungkin salah satu hikmah mengapa Allah SWT turunkan wahyu hanya dengan bahasa Arab sahaja!

Tuesday, March 30

Ukhuwwah: "Nil mulai kering kerana Mesir yang sudah berubah"


Assalamualaikum wbkth….

Segala pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam, salawat dan salam ke atas nabi Muhammad s.a.w., para sahabat dan pengikut baginda yang setia hingga akhir zaman.

Selalu orang menyebut tentang Ukhuwwah. Apa itu ukhuwwah? Kenapa perlu berukhuwwah? Dan kadang-kadang orang bertanya, mana ukhuwwah anda?

[Ukhuwwah=Persaudaraan Islam]

Setiap orang ada persepsi dan prinsip sendiri tentang ukhuwwah. Ada orang cukuplah kita melempar senyuman ikhlas itulah takat ukhuwwah baginya. Tak meminta yang lebih. Ada sahabat perlu kepada kunjungan ziarah barulah jiwanya terasa siraman ukhuwwah. Dan pelbagai lagi.

Lain orang lain mahunya. Cuma, betulkah itu yang dikatakan ukhuwwah?

Sehingga saya berjumpa buku tulisan As-Syeikh Ustaz Abdullah Nasih Ulwan. Beliau menulis suatu kitab yang bertajuk: Al-Ukhuwwah Al-Islamiyyah. Insya Allah mungkin boleh kita koreksi sedikit. Moga-moga rasa cinta dan manis berkasih sesama sahabat pada jalan ini kelak akan berpanjangan. Insya Allah!

Firman Allah SWT:

“Kalau engkau belanjakan apa yang ada di bumi semuanya pun engkau tidak dapat menyatukan antara hati-hati mereka, tetapi Allalah yang menyatukan anatara mereka.”—Al-Anfal: 63.

Al-Ukhuwwah Fillah. Iaitu persaudaraan kerana Allah SWT, adalah anugerah kudus sebagai suluhan Rabbani dan nikmat Ilahiyyah. Allah mencampakkan nikmat ini kepada hati-hati mereka yang ikhlas, suci dan penuh dengan ketakwaan.

Ukhuwwah, iman dan takwa adalah adik beradik kembar yang tidak boleh dipisahkan. Tanpa iman tidak akan benar takwa. Tanpa ukhuwwah tidak akan sempurna iman. Tanpa iman maka sia-sialah ukhuwwah. Seperti mana yang ditegaskan oleh baginda Nabi SAW dalam satu hadisnya:

“Tidak sempurna iman seseorang sehinggalah ia mencintai (menyayangi) saudara segamanya yang lain seperti mana ia mencintai dirinya sendiri”.

Namun, apa syarat yang menjadi petanda bahawa kita sudah berukhuwwah?

Pesan As-Syiekh kepada para pejuang serta pendokong agama Allah SWT ini. Agar menghidupkan hati bagi mengingati syarat serta sarana yang sepatutnya kita jadikan kayu ukur akan apa yang kita sebut sebagai ukhuwwah fillah abadan abada!

1. Asasnya adalah Iman dan Takwa

2. Kuncinya adalah Ikhlas

3. Rantai pengikatnya adalah Tanggungjawab!

(Tanggungjawab bukan hanya spesifik terhadap individu. Bahkan tanggungjawab secara umum buat Jemaah. Sebagaimana pengajaran Kisah Kaab Ibnu Malik yang ‘terlalai’ untuk menunaikan tanggungjawabnya.)

Insya Allah jika ketiga-tiga syarat ini dipenuhi maka benarlah bahawa kita sedang berukhuwwah!

Dalam sirah (Hadis Bukhari dan Muslim) dikisahkan dua orang sahabat Nabi:

Rasulullah melarang permainan Khazaf (melontar batu dengan telunjuk dan ibu jari), kerana permainan begitu tidak boleh membunuh binatang buruan sebaliknya hanya membutakan mata dan merosakkan gigi (berbahaya kepada orang lain).

Ibnu Maghfil menegur seorang sahabatnya: “Kenapa engkau masih bermain Khazaf?”

Sahabatnya tidak mempedulikan dan masih mengulangi perbuatan yang sama.

Lantas Ibnu Maghfil berkata: “Sesungguhnya aku diberitahu bahawa Rasulullah melarang perbuatan ini. Engkau masih mengulanginya juga. Maka, aku tidak akan bercakap denganmu mulai dari sekarang!”

Ya. Hakikatnya begitulah semangat ukhuwwah sesama sahabat Nabi SAW. Mereka bertemu kerana Allah. Berkasih kerana Allah. Dan juga berpisah hatta walu sekecil-kecil perkara jua kerana Allah dan Rasulnya!

Moga kita semua dapat mencontohi mereka. Insya Allah.

Wallahu a’lam.

Monday, March 29

Jangan kerana kemuncup..

-Jangan kerana sejengkal pokok kemuncup kita sudah menarik diri dari perjuangan-

Ini bukan benar-benar cerita pasal pokok kemuncup…

Atau jauh sekali dari cuba menandingi tulisan asal Tok Guru dalam buku ‘Kemuncup Dalam Perjuangan’...

Cuma sekadar meminjam tajuk asal.. Jua mengait sifat semulajadi akan pokok namanya kemuncup. Kemuncup di sepanjang jalan..... Jalan yang ini. Bukan jalan yang orang sana!

Agak lama tidak menyentuh soal politik negara. Politik parti. Politik manusia yang serba-serbi... Bukan kerana sudah mengundur diri dari dunia politik. Cuma kira saya bukan itulah tugas sehari-hari kita. Bukan tugas yang diarahkan secara spesifik hingga tugas lain terbengkalai. Jemaah ini ibarat sebuah bas yang setiap orang punya pernanan masing-masing...

Ibarat bas, ada yang menjadi tayar. Ada yang bertugas sekecil skru. Ada yang bertindak umpama bumbung. Enjin. Ekzos dan sebagainya... Setiap orang berfungsi pada tempatnya masing-masing. Tinggalkan tugas anda bermakna anda ‘mencacatkan’ bas ini. Walaupun tugas itu pada akal kita cuma sekecil skru saja....

Dan politik di mana letaknya?

Politik adalah jalan daripada ribuan jalan yang ada. Penyempurna kepada setiap yang lain. Kerana Jemaah ini membawa seruan dakwah serta tarbiyyah. Itu asas yang tiada kompromi! Maka antara jalan yang dirintis ialah jalan politik. Politik bersumberkan disiplin siyyasah Syar’iyyah dan bukan sumber nafsu manusia yang serba-serbi... Nauzubillah! Oh Allah jauhkanlah dari itu.

Itu sebab kerja kita banyak... Bukan kerja atas jalan politik saja. Bahkan terlalu banyak dari itu... Kaderisasi, tarbawi, kebajikan, dakwatul insan dan pelbagai lagi. Alangkah terkejutnya bila seorang dari kita boleh bercakap seperti ini:

“Ana tak bolehlah syiekh... Asyik-asyik politik. Ana dah muak dah dengan politik ni!”.

Virus dari pokok kemuncup!

Ya, saya rasa itulah penangan bunga kemuncup tadi. Sehingga orang yang sepatutnya faham dan serta mendokong kerja yang diamanahkan boleh lagi melontarkan ucapan yang seperti itu. Maka, bibir berkata sambil tangan menolak kerja. Tinggallah beberapa orang yang terkebil-kebil di sana. Ya, sekali lagi saya kata, awak ‘mencacatkan’ Jemaah ini!

Teringat firman Allah SWT:

“Apabila telah datang pertolongan Allah dan Kemenangan.”

“dan engkau akan melihat manusia berbondong-bondong masuk agama Allah.”—Surah An-Nasr (1-2)

Bagaikan cendawan selepas hujan...

Tumbuh melata di sana-sini sampaikan kita keliru yang mana satu cendawan dan yang mana satu gerangan kulat kayu!!—Itu sunnah alam.

Kemuncup selepas kemenangan. Tumbuh selepas hujan dan hilang bila kemarau... Melekat di pakaian para pejuang yang melalui jalan ini. Ada yang boleh membuangnya kembali.. Ada yang tidak kisah sangat. Tapi sayang, ada yang berhenti kerana itu.. Berhenti sementara waktu tidak apa.. Tapi, berhenti dan terus pulang, yang ini bermasalah!

Pada hemat saya, ada kesan benarnya ijtihad Allahyarham Al-Fadhil Ustaz Fadzil Nor yang membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menubuhkan parti baru iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR). Agar jemaah ini tidak dihinggapi lebih banyak kemuncup. Mereka yang tidak pernah erti kenal dasar perjuangan yang sebenar.. Tidak pernah tahu asas jihad yang sepatutnya. Hanya sekadar semangat serta rasa tidak puas hati.

Itu takkan cukup.

Ketika mana jemaah mengamalkan dasar ‘langit terbuka’. Siapa sahaja boleh masuk dan boleh menjadi ahli. Sepatutnya kita sebagai pendokong mesti memainkan peranan. Bukan mengungkapkan cemuhan atau rasa keluh-kesah. Belajar dari Fagosit yang istiqamah melakukan proses fagositosis.

Ini tidak.... Berapa ramai kalangan kita yang menerima tarbiyyah secara terus lalu balik menjadi pendokong dan bukan hanya penonton? Tidak ramai... Kebanyakan kita suka berpeluk tubuh hinggakan tempat kosong di cawangan mahupun kawasan diisi oleh orang yang bukan selayaknya. Apatah lagi kalau yang mengisi ialah kemuncup!

Lalu kita nak salahkan siapa? Salahkan jemaah? Ops.. Berhati-hati dengan kata-kata!

Kemuncup atau tidak.. Cendawan atau kulat.. Mereka semua mad’u yang istimewa. Yang berani merelakan diri sebagai pendokong di dalam jemaah ini. Kita sewajarnya tabik dengan mereka! Apapun tinggal lagi pada tangan kita untuk Islahkan fikrah dan amal tradisi yang mereka bawa supaya tidak lagi menjadi bunga kemuncup yang melekat!