Separuh masa Ketiga piala TAKWA!
Pusingan ketiga bermula!
Hari ini adalah hari ke-21 Ramadhan. Kalau dianalogikan dalam permainan bola, pusingan ini adalah pusingan yang ketiga. ‘Extra time’ setelah 1st half dan 2nd half berakhir.
Pusingan inilah dimana Rasulullah SAW langsung tidak berbuka puasa melainkan ketika waktu sahur.
Ketika ditanya oleh para sahabat;
“Wahai Rasulullah... Apakah ini satu perintah dari Allah?”
Jawab baginda, “Ini adalah khusus untuk daku sahaja”.
Gentingnya seorang kekasih Allah mengejar keredhaan dan keampunan Allah SWT walhal baginda sudahpun mendapat jaminan Syurga!
Sehingga Saidatina Aisyah Radhiallahu’anha mengungkapkan;
“Aku tidak pernah melihat kesungguhan baginda Nabi SAW beribadah melainkan ketika waktu ini (malam-malam terakhir Ramadhan).”
Bayangkanlah..... Rasulullah SAW seorang yang luar biasa ketekunan ibadahnya sehingga dicatitkan di dalam kitab-kitab sirah. Salah satunya, baginda bersolat sehingga kaki beliau bengkak dan pecah.
Kita ingatkan itulah ibadah yang paling maksima dibuat oleh Rasulullah!
Rupa-rupanya ada lagi yang lebih ‘hyper-maksimum’ daripada itu. Iaitu ketika malam-malam akhir bulan Ramadhan! Itulah yang disaksikan oleh ummul Mukminun Saidatina Aisyah sendiri.
Kenapa?
Kerana pusingan ketiga ini adalah saat-saat genting bagi seorang hamba yang sangat mendambakan keampunan serta keredhaan Tuhannya...
HARI-HARI MENUJU KEMENANGAN!
Masa terus berdetik.
Setiap saat yang ada sangat berharga bagi seorang Mukmin.
Setiap amalan dilipat kali ganda pahalanya oleh Allah SWT sebanyak 70 kali.
Bayangkan seorang hamba yang menapak ke masjid di bulan Ramadhan dengan hati yang ikhlas lalu mengerjakan solat berjemaah.
Satu langkah dapat 1 pahala. Katakan jarak rumahnya ke masjid adalah 50 langkah, maka pahalanya adalah 50x70 kali di bulan Ramadhan. Jumlahnya ialah 3500 pahala!
Kemudian hamba ini solat berjemaah. 1 pahala solat x 27 solat berjemaah x 70 di bulan Ramadhan, jumlahnya 1890 pahala.
Itu tidak termasuk pahala bacaan di dalam solat iaitu satu huruf Al-Quran akan mendapat 10 ganjaran dan didarabkan dengan 70 kali di bulan Ramadhan. Pahala ‘iktikaf, mendengar bacaan imam, pahala saf solat, dan pelbagai lagi... Terlalu banyak jumlahnya!
Subhanallah... Luasnya kurnia Allah SWT bagi mereka yang menilai dengan iman.....
Pusingan ke-3 ini adalah hari-hari terakhir menuju kemenangan.
Bagi hati-hati yang mengerti, mereka akan teruja berlumba-lumba membuat kebajikan sehingga ke tahap yang paling maksima.
Padanlah ketika akhir Ramadhan inilah Tariq bin Ziyad menawan kota keagungan Eropah di Sepanyol!
-Gambar Hiasan-
Tanggal 27 Ramadhan.
Sejarah dunia mencatatkan peristiwa tatkala kuda perkasa tunggangan seorang ‘hanya biasa’ berketurunan hamba dari Parsi iaitu Tariq bin Ziyad mendarat di pesisir pantai Selat Gibraltar.
Tiba-tiba panglima yang ‘hanya biasa’ ini membuat satu arahan yang terlalu ‘luar biasa’! Beliau meminta kapal-kapal yang digunakan tadi dibakar kesemuanya. Tanpa ada sebuah pun yang ditinggalkan.
Jackson J. Spielvogel menulis dalam bukunya, Western Civilization:
“After sweeping across North Africa, the muslims crossed the Straits of Gibraltar and moved into Spain around 7100 people.”
Mendengar berita ini, Raja Roderick mengetuai tentera seramai 100 000 orang untuk berdepan dengan tentera Islam yang hanya berjumlah 12 000 orang termasuk tentera bantuan yang baru sampai.
Tapi sungguh!
Raja Roderick telah melakukan kesilapan besar kerana menentang tentera Islam di saat ‘hari-hari GENTING mereka menuju kemenangan’.
Raja Roderick tersilap membuat percaturan kerana jahil menilai. Dia tidak tahu bahawa hari-hari terakhir Ramadhan adalah saat-saat genting seorang hamba ‘bermati-matian’ menyahut seruan Tuhannya.
Ekoran dari itulah tentera Sepanyol tewas dan Raja Roderick terbunuh dalam pertempuran yang berlangsung di dalam Wilayah Cadiz.
Mari kita selami apa yang diucapkan oleh panglima Tariq bin Ziyad tatkala beliau berpidato selepas membakar kapal-kapalnya:
“Wahai sekalian Tenteraku, kemana kalian mahu melarikan diri?? Laut di belakang kamu dan musuh ada di hadapan kamu. Demi Allah yang Maha Kuasa! Tiada lagi yang tinggal melainkan Keberanian dan juga Kesabaran!”
Hari-hari akhir Ramadhan... Ketahuilah bahawa ia adalah detik dimana seorang hamba akan mencapai ‘klimaks’ dalam ibadahnya!
Insya Allah, kita buktikan!! Tapi hanya pada Allah dan bukan pada manusia.