Monday, July 27

Intelektualisme: Satu kritikan!

Bacalah, bagi mereka yang berminat untuk meruncing minda!

Berapa ramai lagikah golongan intelektual yang masih ada pada hari ini? Intelektual maksud saya, mereka yang mempunyai idea pandang jauh ke depan melewati batas fikir dan bukan merakiti idea orang lain semata-mata.. Intelektual juga bagi saya, bukan sekadar punyai fikir yang punya kejelasan bahkan dia berani untuk mewacanakannya demi survival umat... Tidak gentar dan ragu dengan kecaman sesiapa.

Dewasa kini.. Para ilmuwan semasa berpendapat bahawa tahap literasi serta pelajaran orang awam adalah lebih baik berbanding awal kemerdekaan yang lalu.. Orang sekarang mungkin sudah ramai yang bertaraf profesional dalam disiplin ilmu masing-masing. Mungkin idea ini didasarkan dengan membawakan bukti yang berupa statistik semasa iaitu dapatan seperti bilangan DOKTOR, JURUTERA, PENSYARAH, dan lain-lain lagi.. Ya.. memang dari skop statistiknya, ia suatu yang sungguh menggembirakan kita..

Saya sendiri pun cukup setuju akan hal ini!

Masakan tidak.. Banding saja dengan situasi zaman atuk nenek kita yang terdahulu, nak cari orang yang berkelulusan SRP itupun sudah amat payah.. Apatah lagi profesion seperti doktor atau setaraf dengannya! Hari ini.. Sebut saja nak cari apa.. Bahkan golongan profesional seperti doktor sekalipun sudah teramat ramai atau dengan bahasa kasarnya, “bersepah”!

Untuk memahami akan senario ini dengan lebih terang lagi.. Maka satu perkara yang semestinya perlu difahami ialah, BERPELAJARAN tinggi tidak semestinya anda dianggap seorang intelektual! Hakikat ini bukan hanya dibenarkan oleh pandangan para intelektual terdahulu bahkan tuntas juga ia kebenaran yang disepakati massa..

Misalnya.. Seorang pensyarah elektrik contohnya, beliau cukup berpelajaran tinggi dan abresiasi telah pun diberikan kepadanya sehingga tahap doktor falsafah tapi malangnya ia hanya mahir dengan ilmu elektrikanya sahaja.. Ilmu-ilmu lain yang melayakkannya untuk duduk sebangku para intelektual seperti ilmu falsafah, sains politik, kemasyarakatan, antripologi dan sebagainya tidak ada.. Bahkan, maaf cakap; ada yang tidak tahu menahu langsung!

Oleh sebab itu.. Walaupun orang seperti ini layak dikurniakan abresiasi akan ketinggian ilmunya dalam elektrik.. Tapi, itu cuma tahapan INTELIGENSIA semata.. Bukan sesekali INTELEKTUAL! Golongan intelektual sepatutnya bukan sekadar ilmunya mencakup luar dari bidang yang diceburi, bahkan dengan ilmunya itu tadi beliau mampu berinteraksi dengan masyarakat keliling sehingga segala nilai yang ada dapat dialirkan kepada komuniti sosial.

Kita TIADA intelektual!

Cemuhan ini bukan saya yang lemparkan.. Tetapi kalau nak tahu, cemuhan dan cacian ini dilemparkan oleh penjajah sejak dari zaman Belanda dan Portugis lagi.. Alam Melayu kata mereka, adalah umat pemalas yang tidak punyai apa-apa nilai keintelektualan! Apakah ini benar? Buka mata.. dan tengok keliling.. Jawaban ada di keliling anda bahkan diri kita masing-masing turut terkandung jawabannya!

Atas sebab itulah, bangun seorang anak muda yang saya cukup kagumi walaupun tidak pernah bersentuh secara jasadi dengannya.. Jose Rizal! Beliau seorang doktor yang mahir dalam falsafah, juga seorang sasterawan yang hebat dan seorang REVOLUSIONEER! Berbulan-bulan beliau menghabiskan masa untuk menjawab segala makian dan cacian penjajah itu tadi. Lantas, lahirlah buku beliau yang bertajuk; ‘The Indolence of the Filipinos’.

Jose Rizal.. Anak muda intelektual Asia yang sangat tersohor!

Jika kita baca buku ini.. Kita akan dapati betapa bahayanya sebuah tamadun bangsa yang keruncingan golongan intelektual sebagaimana yang diakui oleh Rizal yang juga seorang intelektual Asia.. Tema yang cuba disampaikan oleh Rizal dalam bukunya ini, saya kira masih amat relevan untuk kita teliti sesuai dengan perkembangan zaman kita pada hari ini.. Mungkin cemuhan ‘kita TIADA intelektual’ itu seperti satu tuduhan yang meliar tapi jika umat ini tidak bangun dari tidur, maka kita akan dibutakan oleh dasar kapitalisme yang menular dalam dunia intelek!

Hari ini.. Amat payah untuk kita menuding jari kepada tokoh yang boleh diberikan abresasi selayak sebagai intelektual.. Kalaupun ada, mungkin seputar ruang lingkup yang terbatas seperti; sekitar universiti, negeri, atau mungkin cemerlang hanya di sekitar negara.. Kita semakin hari semakin menjauh dari prestasi intelektual tulen sebagaimana mereka yang terdahulu seperti; Prof Naquib Al-Attas, Prof Hussien Al-Attas, Pak Hamka, Pak Natsir dan yang lain..

Mereka ini bukan hanya pemikir dan penyumbang idea kepada negara sahaja bahkan idea dan sumbang saran mereka dirujuk oleh seluruh umat melewati batas kenegaraan dan kebangsaan. Karya mereka sangat bernilai dan saya pasti setiap dari pencinta ilmu sangat merinduinya!

Saya mengkritik dasar!

Tidak salah untuk kita mengkritik kerana itulah pun dasar yang kita lalui semenjak berkecimpung ke alam sekolah dan bersekolah. Tegas saya katakan, tidak ada petanda yang jelas bahawa dasar pelajaran negara pada hari ini menunjukkan suatu keseriusan untuk menghasilkan produk selayak intelektual! Ini suatu hal yang sangat mengecewakan..

Tinggal beberapa hari lagi majlis konvokesyen akan berlangsung.. Dan pastinya pada hari itu, sekelompok besar mahasiswa dan mahasiswi dianugerahkan dengan segulung ijazah sebagai tanda abresiasi bahawa kononnya mereka sudah pun layak bergelar intelektual! Saya salah seorang daripadanya.. Dan serius untuk saya katakan; saya menangis tidak sudah-sudah dengan penghinaan ini!

Apakah kita mahu mengaburi masyarakat umumi yang meletakkan sepenuh kepercayaan bahawa lahirnya produk intelektual ketika majlis konvokesyen itu maka ia sama seperti lahirnya para golongan intelektual yang tulen senama dengannya seperti tokoh-tokoh yang saya sebutkan dalam entry saya ini?? Bukankah imej intelektual yang disarungkan pada jasad dan fikir para graduan sekarang hanyalah memantulkan suatu penghinaan yang teramat dahsyat jika mereka mengerti?

Itulah sebabnya kita jangan berlagak sombong serta angkuh dengan gulungan sijil konvokesyen itu kerana hakikat nilai intelektualisme bukan tertakluk padanya! Biarpun universiti dipanggil dengan jolokan ‘puncak menara gading’, tapi intelektual yang tulen serta menjadi pelita umat seperti Herbert Spencer bukanlah lahir dari situ!

Tambah menakutkan lagi.. Apabila menara gading yang dipuji-puji itu kadangkala hanya melahirkan “ROBOT MANUSIA” yang berotak chip dan berakal computer programming serta berjiwa kosong iaitu null value!

Inilah sebabnya apabila pendidikan didasarkan bukan pada nilai intelektualisme tapi kapitalisme!

Hari ini.. Apa yang dikejar ialah prasarana kerja.. Apa yang dikejar ialah tangga gaji.. Apa yang dikejar ialah duit.. Pernah satu hari saya pernah ditegur oleh seorang profesor ketika mana saya ajukan pendapat untuk menyambung master dalam bidang falsafah pendidikan.. Katanya; “Apa yang you dapat kalau sambung master bahagian tue.. Bukan ada gunanya pun sekarang.. You sambung master electrical and then you kerja sebagai lecturer.. Ada masa nanti bolehlah sambung pHd untuk dapatkan gaji yang lebih besar..”

Saya terkejut dengan paradigma seperti ini.. Bukti yang jelas akan bahana kapitalisme sudah menepu dalam dasar pendidikan negara kita. Sehingga mereka yang bertaraf pHD sekalipun bisa dikaburkan dan dibutakannya!

Apakah proses ini yang berlaku di 'menara gading'?? Argh.. Sangat menakutkan!

Hari ini saya kira kita menyaksikan di depan mata.. Para pelajar diasak dengan kemahiran teknikal.. Samada kemahiran yang menjurus bidang sains ataupun kemahiran teknikal kepada teknologi yang lain. Kerana nilai manusia yang berkemahiran dalam dunia kapitalisme adalah sangat tinggi.. Oleh sebab penumpuan yang menggila kepada kemahiran ditambah pula dengan permintaan tinggi prasarana kerja, maka semakin banyak institusi pengajian tinggi yang didirikan hanya menyediakan kursus yang mengarah kepada penyediaan produk manusiawi yang berkemahiran.

Lantas, kursus serta program pendidikan yang mengarah kepada penyediaan modal insaniah yang boleh berfikir pelbagai dimensi dan perspektif diabaikan. Bahkan! Ada yang memansuhkan langsung.

Disinilah punca dan titik tolaknya kelahiran besar-besaran produk yang dipanggil “ROBOT BERWAJAH MANUSIA”! Malang sekali.. Walaupun dasar tadi dapat mencanai ia sehingga menjadi robot, tapi nafsunya tetap ada. Itu sebab, gejala rasuah dan salah guna kuasa tetap berlaku sepanjang masa!


Insya Allah.. Bersambung untuk siri intelektualisme 2.


4 comments:

Anonymous said...

Salam.

Membaca tulisan saudara memang meruncingkan minda saya. Saya bersetuju benar akan kenyataan saudara mengenai trend pendidikan Malaysia sekarang lebih mementingkan keluaran produk fizikal dan teknikal.

Tak dinafikan ianya penting, tetapi proses pembangunan insan tidak patut dianak-tirikan kerana kedua-duanya sama penting. Apa guna pandai berniaga tetapi tidak pandai untuk bersikap jujur.


ps: Tulisan saudara memang ada nilai falsafah yang tinggi. Jarang dapat baca tulisan macam ini di internet. Teruskan usaha, Malaysia memerlukan pemikir dan idealis seperti saudara.

LegendZ said...

salam tuan...
tersentuh hati ana baca posting nta kali ini..malah tepat terkena ke batang hidung ana sendiri..

Beberapa hari lagi konvo tuan..huuu..

Zaiem Al-Hilmee said...

Salam tuan.. ana secara optimisnya menyokong artikel tuan. Biarpun secara realitinya teguran ini amat menyakitkan hati sesetengah pihak, namun itu adalah hakikat dan cetusan yang amat baik dari tuan blog..

Penghasilan produk dari acuan universiti belum menjamin dapat menghasilkan individu yang kreatif dan berkualiti kerana mereka bergaul dalam antara faktornya ana rasa sbb kepompong mereka shj dan pemikiran tak berkembang.

Faktor yg lain ana rasa kerana pemikiran dan minda mahasiswa kini yang lebih tertumpu kepada 'nak kerja yg gaji tinggi setelah habis blajar' dan mereka meletak harapan serta kebergantungan 100% thdp ilmu yg mereka ada tanpa menerokai ilmu2 lain..

Zaiem Al-Hilmee said...

Pembetulan perenggan ke-2:

Penghasilan produk dari acuan universiti belum menjamin dapat menghasilkan individu yang kreatif dan berkualiti kerana antara faktornya ana rasa sbb mereka bergaul dalam kepompong mereka dunia ilmu mereka shj dan xnak berfikir dan mencampuri ilmu dan hal2 lain. Ini menyebabkan pemikiran tak berkembang.

Sori, keyboard ada mslah..