Monday, November 23

Bukanlah sebutir Bintang...

“Memang tak nak balik ke?”—Ibu bersuara dihujung gagang..

“Insya Allah tak. Boleh kan?”. Saya menguji ibu.

“Boleh.. Cuma takut kamu sahaja yang tak mampu nak bertahan..”. Ibu yang menguji saya pula. Terbalik.

“Anak ibu dah besar. Insya Allah tak menangis punya.”. Strategi untuk mengelak.

“Oh ya ke? Kita tengok siapa yang menangis nanti..”. Saya tergelak dengan cabaran ibu.

Hari raya memang sinonim dengan balik kampung.. Tak kiralah namanya hari raya puasa atau haji.. Bila tiba sahaja hari yang dipanggil raya, terlontar di dalam benak segala perihal tentang kampung laman. Kerinduan akan tak tertahan jadinya...

Tapi tak bermakna, dikala raya sahaja kita mengingat.. Atau mengenang..

Pada namanya Ibu yang duduk berjauhan..

Pada namanya kampung laman yang mendamaikan..

Atau pada namanya sahabat sejuang yang tertunggu-tunggu kepulangan.

Malah, saban masa sepatutnya mereka semua perlu diingat dan dikenang. Apatah lagi buat ibu, satu-satunya permata berharga yang saya ada.. Sehingga tak sanggup melihat sinarnya malap dirundung duka bila tidak semua anak-anak balik berhari-raya di rumah.. Apakan daya, saya terpaksa belajar untuk lebih dewasa..

Bersabar wahai ibu, insya Allah saya akan pulang jua.

Begitu juga buat teman sperjuangan di sana.. Apa khabar kalian? Pastinya tersibuk dengan gerak kerja yang ada..

Apapun, bukanlah bermakna kita merasa diri ini terlalu berharga buat orang.

Apalah yang kita ada.. Tulang empat kerat ini masih ‘cacat’ untuk memberi.. Sehingga kadangkala merasa malu bila ada orang menggelar bintang yang ditunggu kepulangannya [sumber]..

Ah! Saya bukanlah sebutir bintang.

Ya Allah,
Berilah mereka balasan yang sebaik-baiknya, atas
didikan mereka padaku dan Pahala yang besar atas
kesayangan yang mereka limpahkan padaku,peliharalah
mereka sebagaimana mereka memeliharaku.


Akhir serta Khas untuk ibu..

Sempena Aidil Adha, saya mencuba untuk lebih menghayati kisah Nabi Ismail dengan ibunya Hajar. Pengorbanan seorang ibu untuk melepaskan anaknya pergi menyahut seruan Tuhan.. Itulah manifestasi kasih tertinggi seorang ibu. Biarpun, hati terlampau sayang.. Tapi, seruan Tuhan tetap ditunaikan.

Sama keadaannya tapi mungkin jauh makamnya.. Kerana belajar, ia juga ibadat yang diseru Tuhan..

Oh Ibu! Terima kasih kerana sekali lagi sudi melepaskan anak ini.. Untuk terus menjadi PELAJAR KEHIDUPAN.. Kalaupun ia menjadi Bintang, tapi bukan untuk orang.. Hanya untukmu ibu yang seorang.

No comments: