“Hai.. Termenung jauh nampak..”—Athirah, anak buah saya yang paling ‘dewasa’ mengusik..
“Hmm.. Takde apa.”. Mata kami berdua tak lekang memerhati Asyraf yang keasyikan bermesra dengan ikan-ikan ‘special’.
“Sekadar merenung dan berfikir untuk menambah rasa zikir dalam hati..”. Jawaban ringkas. Entah dia faham atau tidak..
“Eh! Jangan picit kuat-kuat.. Nanti ikan tu lari.” Athirah melaung adik dia Asyraf yang mula bermain kasar dengan ikan.. Asyraf menjelirkan lidah tanda tak puas hati bila dilaung sebegitu..
“Hehe..”. Saya geli hati.
Anak buah saya.. Asyraf dengan ikan-ikannya..
Belajar sesuatu dari si Ikan.. Makhluk kongsi manusia di alam fana ini..
Betapa kuatnya jati diri seekor ikan berbanding manusia zaman kini. Alangkah jika ikan mampu memahami kehidupan manusia zaman kini pasti ikan akan geleng kepala melihat JATI DIRI manusia yang begitu sebegitu rapuh dan mudah larut dengan keadaan sekelilingnya..
Ikan yang berada dilaut.. Tapi air laut tak mampu untuk memasinkan dagingnya. Hanya setelah ikan tadi 'naik' ke darat maka dengan secubit garam sahaja sudah cukup untuk memasinkannya. Sedangkan semasa dalam laut tadi bukan sekadar secubit, bahkan selaut garam yang ada!
Allah.. Allah.. Allah...
Penciptaan yang teramat sempurna.. Hikmah disebalik kejadian yang terlalu luas.. Terlalu dalam.. Dan, terlalu rahsia..
Benarlah kata para Malaikat kepada Allah swt tatkala diperintahkan untuk menyebutkan segala benda yang ada di alam ini.. Jawab Malaikat dengan naifnya di depan ‘azza wajalla..
“Maha suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain apa yang Engkau telah ajarkan kepada kami. Sungguh! Engkaulah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”—Al-Baqarah.
Malaikat yang tak punya perasaan itu sekalipun boleh merendah diri di depan Allah swt.. Mengembalikan segala ilmu dan hikmah secara mutlak hanyasanya Allah swt yang mengetahuinya.. Kenapa pula kita tidak boleh?
Pelik dan memang pelik..
Dewasa ini terlalu ramai yang kecundang untuk menumpaskan egonya.. Nak hujah dia sahaja yang benar.. Kata dia sahaja yang betul.. Ah, manusia makhluk Tuhan yang ego!
Seperti tampak “menjahit luka”.. Tapi, sebenarnya tanpa sedar dia “merobek” semula luka lama.. Lalu ia kembali berdarah.. Lantas terus bernanah dan umat kembali menderita!
“Aduuh.. Sakitnya..”. Tersentak bila terdengar Asyraf menjerit kesakitan.. Oh! Rupanya ikan-ikan tadi menggigit kaki.
“Hehe.. Padan muka!”. Athirah ketawa..
Bukan mudah nak dekati ikan.. Belum cecah kaki ke air, ikan dah bertempiaran lari.. Usahkan nak bemesra, nak tengok muka ikan pun amat payah.. Allah swt kurniakan sifat pemalu lebih dari manusia barangkali!
‘Untapped market’.. Mereka seperti ikan-ikan tadi.. Akses dakwah kita belum sampai sepenuhnya kepada golongan ini..
Alhamdulillah, mutakhir ini semacam ada satu perkembangan yang boleh menguntum suka.. ‘Mereka’ semakin boleh menerima.. Rasa ingin tahu yang tidak lagi seperti dulu asyik mahu melarikan diri.. Sekarang, seolah macam ikan-ikan inilah.. Mereka sudah dekat. Bahkan, ‘menggigit’!
Tapi.. Sayang..
Kita dilelahkan dengan bermacam karenah sesama sendiri.. Diulit mimpi dengan keseribu kalian khilaf yang tidak kunjung surut.. Maka, kita semakin lengah dan akhirnya penat. Dan, tanggungjawab ‘melayan’ para ‘untapped market’ semakin dipandang sepi.
Kesian engkau ikan-ikan..
Di saat kau perlukan suapan ilmu dan kasih pimpinan seorang dai’e.. Bukan faham yang engkau dapat.. Tapi, terkejut yang melanda. Masakan tidak, para du’at yang ada sekelumit ego hanya berancakan tikam-menikam dan pencak-memencak tanpa sedar ikan-ikan semakin bingung.. Bingung dan terus lari ke hulu sungai..
Salah siapa?
Entah.. Tapi yang pastinya.. Bukan salah ‘ikan-ikan’ tadi!
Tersentuh seketika dengan kalimat penuh maknawiah yang pernah diungkap oleh seorang Soleh biasa kepada Amir Mukminin, Umar Abd. Aziz..
“Apakah KEUNTUNGAN bagimu jika sekalian manusia masuk SYURGA, dan kamu masuk neraka..? Begitu pula. Apakah KERUGIAN kamu jika sekalian masuk NERAKA dan kamu masuk syurga..?—Tersendu-sendan khalifah Umar Abd. Aziz mendengarnya..
Kepada ‘daie kurang cerdik’ yang masih bersikap seperti anak buah saya yang tak mengerti, Asyraf.. Sudah-sudahlah.. Ikan terlalu banyak untuk disuapi dengan makanan iman dan Islam.. Ambil jalan “REJUVENASI” dan tinggalkan “KONTROVERSI”..
Inilah kita yang sepatutnya dan inilah jua kerja kita yang sebenarnya!
No comments:
Post a Comment