Sunday, November 1

Sempena Jubli Perak PASTI SeMalaysia

Tahniah buat PASTI dan ibu-bapa, tahniah kerana dapat menjayakan sambutan Jubli Perak PASTI Malaysia yang berlangsung dalam suasana yang cukup meriah dan nostalgik.

Dan, saya terasa terpanggil untuk memberikan beberapa idea pandang dan rasa kongsi kepada sesiapa-pun tak kira ideologi politik yang berbeza.. Atau, orientasi aliran pemikiran yang mungkin berlainan sudut dari saya..

Apa yang penting.. Soal pendidikan Islam merupakan satu tajuk yang perlu diambil peduli oleh semua orang. Semua orang apatah lagi orang Islam, sepatutnya tidak “lokek” memberikan perkongsian manfaat pemikiran bagi merealisasikan suatu zaman kegemilangan Islam akan datang yang saya rasa semua mengimpikannya.. Tak kira siapa, asalkan dia Muslim.

Kalaulah di sebelah Sabah dan Sarawak, orang-orang peribumi yang bukan Islam boleh meletakkan kepercayaan kepada institusi seperti PASTI untuk meberikan didikan kepada anak-anak kecil mereka seawal usia tanpa ada rasa ‘takut’ dan ‘ragu’.. Mengapa kita tidak boleh?

Atas sebab itulah saya teringin untuk berkongsi.. Demi anak-anak kita nanti! Insya Allah..

Kelahiran PASTI.

Menyoroti sebentar sejarah awal PASTI..

Penubuhan PASTI sebenarnya telah bermula lebih awal dari usianya 25 tahun. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang dipimpin oleh Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor dan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu menubuhkan prasekolah Islam sebagai perintis.. Hasilnya, dua buah Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (TASKI) telah dibangunkan di Melaka dan Kedah pada tahun 1976.

Melihat sambutan yang menggalakkan.. ABIM yang ketika itu menjadi sayap gerakan pemuda kepada PAS telah mengambil inisiatif untuk mengadakan Bengkel Muridan dan Pendidikan sebagai medium perbincangan untuk menghasilkan modul-modul prasekolah yang berteraskan Falsafah Islam. Menjelang April 1979, TASKI dilancarkan secara rasmi oleh PAS dengan seliaan ABIM.

Apapun.. Pada tahun 1982, gerakan Islam ketika itu dikejutkan dengan kemasukan Presiden ABIM, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam UMNO. Dan, konotasi dari itu berlaku pergolakan yang dahsyat dan akhirnya ahli ABIM terbahagi kepada dua kelompok. Mengikut jejak Anwar, atau memilih PAS.

Kesan ini dirasai di semua peringkat termasuklah pengurusan TASKI ketika itu.. Ini mendorong Dewan Pemuda PAS Kelantan untuk mengambil langkah penggabungan semua TASKI yang diselia PAS Negeri untuk berada di bawah satu institusi baru yang dinamakan Pusat Tarbiyah Anak-Anak Islam (PUTRA Islam—1984). Dan kemudian diikuti oleh negeri Terengganu pada 25 Disember 1985.

Pada tahun 1986..

Naib Yang Dipertua PAS, Ustaz Nakhaie Ahmad telah mencadangkan nama baru untuk TASKI selari dengan kewujudan sistem pengurusan baru pendidikan prasekolah ketika itu.. Dan nama yang dipilih ialah, Pusat Asuhan Tunas Islam—PASTI sehinggalah sekarang.

PASTI di era millineum

YAB. Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sedang menyempurnakan pelancaran KAFFAH..

Sejak kelahirannya sehingga sekarang, sudah tentu PASTI mengalami zaman jatuh-bangun yang semakin mematangkan..

Alhamdulillah, tekanan dari pelbagai pihak dapat ditempuh dan tidak menjadi penghalang untuk PASTI terus membiak dan berkembang.. Umpamanya, pada 15 Oktober 2001, JAIS telah mengeluarkan satu notis bagi mengarahkan semua PASTI di Selangor ditutup. Tapi, halangan itu dapat diatasi apabila Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM)—DPP Negeri Selangor berjaya membuktikan di Mahkamah bahawa PASTI sebagai institusi yang sah.

Mendepani era millineum..

Julai 2004, Pelan Pembangunan PASTI Malaysia 2005-2011 telah dibentang dengan bermatlamat untuk meluaskan peranan dan pembangunan PASTI di seluruh negara. Aspek yang ditekankan ialah;

Akses, ekuiti, kualiti, kecekapan dan keberkesanan pengurusan pendidikan.

Pada 7 Januari 2008, pejabat PASTI Pusat mula berpindah ke pejabat yang baru iaitu di alamat 1027 Jalan Samudra Utama, Taman Samudra, Batu Caves, Gombak Selangor. Transformasi premis ini menandakan peningkatan dari segi kemudahan akses yang lebih sempurna memandangkan premis baru dilengkapi dengan pelbagai kemudahan pejabat, bilik mesyuarat, bilik seminar dan asrama penginapan.

Langkah untuk memajukan PASTI tidak habis disitu..

Suatu koperasi yang dinamakan sebagai “Koperasi Pendidikan dan Kebajikan Anak Soleh Tunas Islam Malaysia Berhad (KOPASTI)” bagi menjamin kebajikan warga PASTI khasnya tenaga pendidik yang ramai.. Alhamdulillah, KOPASTI telah pun diluluskan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia pada 28 April 2009.

Selain aksesibiliti ataupun ekuiti, salah satu elemen teras yang perlu diperincikan ialah.. Kurikulum sekolah PASTI. Ia merujuk kepada perkara fundamental yang perlu dikaji dan diperbaharui untuk memastikan produk anak-anak soleh dan solehah terus terjamin.

Maka, atas keperluan itulah satu kertas kerja “Kelas Asas fardu Ain dan Fardu Kifayah (KAFFAH)” telah digubal dan dibentangkan. Kertas kerja ini dirangkum melalui beberapa deklarasi yang dianggotai oleh wakil-wakil dari Jabatan PASTI, Jabatan Pembangunan Pelajar, pensyarah-pensyarah Universiti, dan wakil dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Konklusinya, KAFFAH telah diterima sebagai kurikulum baru untuk PASTI di seluruh Malaysia. Dan, pelancaran KAFFAH secara rasmi telah disempurnakan oleh YAB. Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika sambutan Jubli Perak PASTI Malaysia baru-baru ini.

Tahniah buat PASTI SeMalaysia!

ALUMNI PASTI. Ke mana kita melangkah..?

AJK Penaja ALUMNI SeMalaysia bergambar dengan adik-adik yang memakai uniform baru PASTI

Secara jujurnya..

Saya masih agak terkejut apabila nama disenaraikan dalam jawatankuasa penaja ALUMNI PASTI SeMalaysia. Tapi, setelah mesyuarat pertama kali yang diadakan di Hotel Raudhah Kelantan semalam, sedikit sebanyak saya mendapat gambaran tentang keperluan untuk kewujudan komuniti Alumni yang telah pun ditubuhkan pada 10 Oktober 2009, di Hotel Concorde KLIA.

Jawatankuasa yang dibentuk akan mengekalkan nama sebagai AJK Penaja sehinggalah mesyuarat agung ALUMNI PASTI yang pertama. Ia dijangka akan dibuat pada tahun hadapan. Apapun, menjadi ahli dalam jawatankuasa penaja bukanlah suatu kerja yang mudah..

Bermula dengan pengumpulan database alumni (merujuk kepada individu yang pernah bersekolah di mana-mana PASTI di Malaysia), jawatankuasa ini juga akan bertindak sebagai ‘Researcher Assistant’ untuk melakukan “study” bagi membantu bahagian pengurusan Komuniti PASTI Malaysia dalam menggagaskan visi, misi dan hala tuju Alumni PASTI selepas ini.

Saya amat tertarik dengan pelawaan seperti ini. Soal pendidikan adalah antara benda yang amat saya minati..

Bagi saya, selain dari memainkan peranan untuk membantu kejayaan Pelan Pembangunan PASTI 2005-2011 yang meliputi soal akses, ekuiti, kualiti dan kecekapan.. Sewajarnya juga komuniti ALUMNI ini nanti menjadi satu identiti yang diberikan peluang bagi mencurahkan idea dan pandangan untuk sudut yang lebih fundamental. Iaitu, aspek kurikulum pendidikan PASTI.

Saya kira, dengan kehadiran pelbagai entiti yang berbeza.. Kualiti daya intelek dan pengalaman yang penuh dengan variasi pasti akan menghasilkan suatu kesepaduan pemikiran dan pelan bertindak yang boleh dialirkan bagi memacu sekali lagi PASTI ke tahap yang lebih ‘advance’.

Apa yang pasti..

Selain soal indeks pencapaian ‘literasi’ (kemampuan membaca dan menulis) dan ‘numerasi’ (kemampuan mengira) seperti yang ditekankan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Najib bin Razak dalam bajet 2010 baru-baru ini.. Sepatutnya, indeks pencapaian ‘akidati’ dan ‘akhlaki’ juga bukan perkara yang boleh dikesampingkan (‘akidati’ dan ‘akhlaki’ adalah terminologi yang saya cadangkan bagi merujuk soal kemantapan akidah dan kesantunan akhlak), apatah lagi dengan suasana kebejatan sosial yang semakin meruncing khasnya untuk anak-anak Islam kita di seluruh negara.

Persoalan..

Dimana kita nak mulakan semua ini..? Jawabannya sudah pasti di sini.. Di PASTI. Maka, inilah antara perkara yang sepatutnya diambil sebagai perkiraan oleh komuniti Alumni untuk membuat hala tuju selepas ini. Membantu untuk merealisasikan suatu kesepaduan pembangunan pendidikan di kalangan produk PASTI yang mencakupi soal; akidati, akhlaki, literasi, dan numerasi.

Belajar sesuatu di luar..

Mesyuarat AJK Penaja ALUMNI PASTI yang dikelola oleh Encik Roseman Abd. Rahman.

Dalam mesyuarat AJK Penaja Alumni semalam, Encik Roseman Abd. Rahman melontarkan beberapa cadangan aktiviti dan program pembelajaran yang saya jangkakan cukup menarik dan signifikan.. Salah satunya lawatan sambil belajar Alumni ke luar negara.

Ya.. Kita perlu belajar dari luar.

Saya teringat satu dokumentari yang pernah ditonton. Dokumentari yang memaparkan diari harian anak-anak warga Jepun yang bersekolah di peringkat “Kindy-Garden”. Iaitu, peringkat tadika kalau di Malaysia..

Apa yang saya nampak, dalam tradisi perlumbaan masyarakat negara kita yang terlalu mementingkan soal pencapaian akademik. Walaupun baru usia seawal tadika, anak-anak sudah dibebani dengan pelbagai kelas tuisyen yang bertujuan semata-mata untuk medapatkan skoran A dalam apa jua mata pelajaran.. Ibaratkan, kalau dipunggah keluar segala isi yang terkandung dalam beg seorang adik tadika kita..Nescaya terkeluarlah segala macam buku; buku teks, buku kerja, buku mewarna, buku tulis, buku cerita, dan tak termasuk lagi box-pencil yang sebesar dua tapak tangan itu!—Kata seorang sahabat, salah satu sebab utama orang tua mengadu sakit pinggang dan belakang ialah.. ‘Life-history’ iaitu masuk tabika ketika kanak-kanak. Membawa beg seberat 10kg!

Apa nak buat.. Huruf A itu terlalu penting bagi seorang ibu atau bapa! Kerana, huruf A jualah yang menjadi ukuran tahap ekselensi pelajar di negara kita bermula dari alam pendidikan tadika hinggalah ke namanya menara gading Universiti.

Tapi di negara maju seperti Jepun lain pula ceritanya..

Apa yang ditekankan bukanlah soal akademik.. Pendidikan awal lebih tertumpu kepada pembangunan nilai dan etika seorang kanak-kanak. Saya melihat, kebanyakan kelas yang dianjurkan adalah berbentuk “out-door” seperti subjek ‘Bagaimana untuk membeli setem di Pejabat Pos’. Lalu anak-anak “kindy-Garden” tadi, dibawa ke Pejabat Pos dan diajar bagaimana untuk beretika ketika membeli setem (termasuk beratur dengan tertib, jangan berbuat bising, dan lain-lain lagi). Itu baru satu contoh..

Ya, kita akhirnya akan akui bahawa sentuhan mereka agak lain.. Mungkin kerana; Mereka mendidik bagaimana untuk hidup dan bukannya mengajar untuk hidup!

1 comment:

putaralam said...

PASTI Sabah diwujudkan pada 1983 lagi.untuk pengetahuan konvokesyen PASTI Sabah akan diadakan di Sabah Trade Center.