Monday, January 25

Perang!

1. Khabarnya perang sudah pun meletus pagi tadi secara rasmi. Bermula tanggal hari ini iaitu 25 Januari 2010 sehingga 28 Januari 2010. Dalam tempoh 3 hari yang amat singkat, kita akan saksikan pertembungan dua partai iaitu antara 'OREN' dan juga 'MERAH'. 'Oren' atau 'merah' kah keputusannya selepas ini? Mahasiswa, anda menjadi penentunya! Kalaulah saya masih mahasiswa...

2. Perang sebegini sudah menjadi lumrah. Tabiat alam semula jadi untuk mencapai keseimbangan ekosistem. Usah hairan dan bertanya kenapa perlu berperang dan mengapa harus bertembung? Kerana Allah SWT sudah menggariskan dalam Quran al-Karim bahawa dunia ini akan diwarnai oleh dua partai sahaja. ‘Hizbu Allah’ dan ‘hizbu Syayathiin’. Pilih antara dua sahaja...

3. ‘OREN’, ada beberapa pesan buat anda. Allah SWT menukilkan beberapa bait kalimat Agung yang mengujakan dalam Quran:

“Demi Kuda perang yang berlari dengan tangkas sehingga kedengaran dengus nafasnya..”

“Serta mencetuskan api dari telapak kakinya..”

“Dan menyerbu musuh pada waktu subuh..”

“Sehingga menghamburkan debu pada waktu itu..”

“Lalu menggempur ketika itu ditengah-tengah musuh..”—Surah Al-‘Adiyaat (1-5)

4. Anda, bagaikan pahlawan yang menaiki kuda tangkas. Berlari dengan semaksima kelajuan sehingga dengus kuda tunggangan kedengaran. Semua rencana dan pelan strategik perlu dilaksanakan seoptima yang mungkin. Optima bagaikan kaki kuda yang mengeluarkan api. Kerana anda sedang berperang dengan gerombolan bala-tentera besar yang teramat angkuh. Mereka lengkap dengan persenjataan dan segenap sokongan. Itu perlu diingat selalu..

5. Anda, jangan merasa rendah diri dan gentar. Ingat, jangan terlalu mengharap pada persenjataan yang ada untuk melahirkan suatu kekuatan.. Kerana kekuatan yang hakiki hanya lahir dari sejauh mana kita yakin pada janjiNya. Dimuliakan dengan kemenangan ataupun dianugerahkan dengan syahid. Tiada istilah kalah untuk anda..

6. Manfaatkan segala peluang yang ada. Segala ruang yang ada. Serbu musuh dikala mereka dalam kelalaian. Iaitu ketika mereka sedang tidur atau ketika mereka sedang terbahak-bahak mabuk berhibur di ruang singgah-sana istana yang penuh kemewahan. Tanpa belas kasihan, hamburkan segala debu yang mengabui mata mereka. Pasti, kota ini akan ditawan! Kemewahan akan digantikan dengan keimanan..

7. Sudah tiba zaman anda. Zaman untuk anda memasuki kota ini dengan panji-panji oren setelah 5 tahun dipenjara kuku-besi. Laungan takbir dan tahmid kita akan saksikan bergema sekali lagi. Tanggal 28 Januari terasa amat lama untuk ditunggu. Rakyat sudah terlalu sakit dan derita. Derita iman yang perlu dibajai dengan ruh-ruh baru. Tangan-tangan baru yang semestinya akan mencorak dengan warna-warni Islam yang tulen. Ameen.

Kunjungi: www.promahasiswautm.blogspot.com.

No comments: