Memoir anak Pesawah dibuka.. Setelah sekian lama kenangan ini dilipat dalam kepala. Digulung sejarah yang bertahun ditinggal. Tidak kesempatan menyinsing seluar meredah batas sawah dek kerana lama dah di perantauan..
Bukan juga disengajakan..
Tapi, setelah kematian Ayah.. Sawah itu agak terbiar.. Tidak ada yang sanggup turun menghitam kulit, mencedok lumpur dengan tangan, mebelai rumput panjang, mebongkar tanah dengan cangkul, dan apa yang sewaktu dengannya..
Mungkin juga ia tidak disengajakan kerana apa yang Ayah wariskan bukannya bidangan tanah sawah itu.. Tapi, warisan Ayah ialah ILMU dan MUTIARA PENGALAMAN. Masih mengingati kata-kata Ayah ketika beliau berehat di perdu pokok sambil mengesat peluh yang terjun dari kepala ubannya..
Biarlah Ayah yang bergelumang dengan tanah lumpur ini.. Kamu jangan.. Kamu pergi sekolah dan belajar rajin-rajin. Ayah tahu kamu tidak mampu menjadi sang PESAWAH.. Biarlah warisan sang PESAWAH ini berhenti setakat Ayah.. Kamu buatlah warisan yang lebih baik buat anak-anak kamu..
Ayah.. Bila teringat kata-kata ini.. Jantung berdegup kencang. Betapa mulianya engkau duhai Ayah.. Manakan ketemu semulia manusia seperti engkau!
Sepoi-sepoi angin sawah..
Membonceng ayah di belakang basikal tuanya setiap kali cuti.. Menuju sawah tercinta medan rezeki Ayah dan sekeluarga yang tidak seberapa.. Iyalah.. Apalah kiranya hasil sawah kalau nak dibanding dengan gaji bulanan seorang pegawai. Sawah itu bermusim.. Kekadang ia menjadi kadang-kadang pula ia meragam. Hasil tuaian dikongsi bersama tikus dan juga pipit..
Membonceng ayah di belakang basikal tuanya setiap kali cuti bermaksud menolong Ayah membanting tulang sama. Kalau musim membaja, sekurang-kurangnya boleh tolong Ayah tabur baja sana-sini.. Kalau musim menuai, sekurang-kurangnya boleh turut sama mengejar pipit yang kedegilan benar. Itu saja yang termampu menolong Ayah.. Maaf ya Ayah.
Ayah berbicara:
Ayah bawa kamu ini bukan bermakna Ayah penat buat kerja ini seorang.. Ayah masih kuat lagi walaupun sudah lanjut. Sebenarnya, Ayah bawa kamu di sini supaya kamu kenal ASAL-USUL kamu. Kamu tahu di mana kamu berpijak.. Agar, setinggi mana pun kamu terbang nanti, kamu tahu di mana letaknya ‘sarang mula’ kamu!
Tidak faham.. Memang tidak faham ketika usia sementah itu.. Cuma, suara Ayah itu dapat ditangkap seketika dan melekat. Hari ini baru diketahui apa makna sebenarnya.. Makna ‘sarang mula’ yang sudah kesekian kalinya terlupa untuk direnung dan diimbas.. Itu yang TERLUPA DIRI sebentar!
Agak berbeza.. Bukan agak. Jauh berbeza..
Mak.. Nak beli basikal baru buka sekolah nie.. Pinta si anak buah dengan kakak (Ibunya).
Aik? Bukan basikal tue masih boleh guna? Buat apa nak yang baru lagi.. Sekadar mencelah bualan anak dengan ibunya. Kekadang agak bimbang juga dengan demand yang diucap. Demand benda yang memang sudah ada. Takut jadi demand yang membazir!
Ala.. Guna jela basikal lama tue.. Ok ape. Nanti Pak Cik tolong bagi cantik. Bukan rosak pun.. Cuma cat je yang tanggal sket.. Bole kan. ‘Izzah kan budak baik..
Harapnya dapat memujuk hati si anak buah. Tapi, alih-alih si ibu pula yang tidak sampai hati.. Beli jugalah basikal baru. Mana ada Ibu yang sampai hati barangkali.. Anak sendiri katakan.
Befikir sejenak.. Mampukah aku ‘sampai hati’ dengan anak sendiri kelak?
Bandingan dengan situasi si anak PESAWAH.
Rasanya tak pernah kesemua sembilan adik beradik ini mengucap pada Ibu dan Ayah meminta sesuatu.. Kalau ada keinginan pada sesuatu, hanya dapat dipendam. Orang kata biarlah menggigit jari, jangan Ayah yang mengigit lidah di tengah sawah dek kerana permintaan kita yang apa-apa entah. Anak-anak faham sendiri kerana mereka membesar dalam ‘sarang’ yang mujur tidak roboh ditiup angin..
Masih teringat bila akak mahu mengambil SPM dengan yuran yang tersangat mahal. Tersangat mahal bagi seorang PESAWAH. Ketika itu Ibu hanya mampu mengalirkan air mata.. Ibu pun tak berani nak ajukan kepada Ayah.. SAYANG.. Itulah sayang yang ‘dalam’. Sayang sehingga tidak mahu fikiran Ayah kusut dek keran Yuran.
Tapi, itu kisah lama..
Hari ini.. Memoir anak PESAWAH itu seolah dilupa atau sendirinya dihakis luluhawa barangkali..
Celik-celik saja si Anak.. Duduk dalam rumah BESAR yang jauh benar bezanya dari ‘sarang’ lama.. Celik saja mata, duduk dalam kereta TOYOTA yang pastinya jauh lebih selesa dari basikal tua Ayah yang boleh naik dua orang saja.. Celik saja mata anak, apa saja pinta yang ditabur boleh dilaksana.. Kadang-kadang menggeleng kepala juga, baru tahun 3 di sekolah rendah sudah dapat komputer riba sebagai tanda hari jadinya.. MOTIVASI untuk pegi SEKOLAH?
Kenapalah dia nie agak liat nak belajar.. Dah nak dekat UPSR nie.. Keluh akak suatu hari..
Tersenyum mendengar keluhan ini. Seronok berbual dengan akak kerana dalam masa yang sama boleh mengasah fikir dan teori yang ada..
Macam mana tak malasnya.. Dia tak tahu belajar itu untuk apa.. Untuk apa belajar kalau semua lengkap dikeliling mata? Untuk apa belajar lagi kalau Ayah dan Ibu boleh bagi apa saja? Untuk apa belajar kalau TIDAK BELAJAR dirasakan tiada apa..
Kalau dulu, kita tak payah disuruh oleh Ibu dan Ayah untuk belajar. Nampak saja muka kerut ayah dimamah penat dari sawah terus hati tergerak untuk belajar. Tengok saja muka ibu bersengkang mata menganyam tikar, hati terasa hiba lantas semangat belajar kita membara. Apatah lagi bila suasana itu diadun sama dengan bunyi batuk kering Ayah.. Akak pun pasti masih merasa bukan?
Termenung akak dibuatnya.. Bukan tujuan nak pulangkan ‘buah keras’. Tapi, tak salah nak mengingatkan memoir lama yang punya jutaan khazanah pengajaran.
Entahlah..
Mungkin setiap orang punya kaedah parenting skills masing-masing. Dan rasanya walaupun zaman sudah berubah atau tuntuan sekarang tidak sama, “memoir anak PESAWAH” ini WAJIB dan masih RELEVAN diperturunkan kepada anak-anak. Agar mereka tidak lupa asal-usul mereka! Nak turunkan macam-mana? Haa.. Gunalah parenting skills masing-masing. Bahan dan silibusnya sudah ada, soal kaedahnya atau bagaimana.. Itu terpulang!
KONGSI RASA:
1. Setiap orang pasti ada MEMOIR tersendiri.. Bagaimana bentuknya atau macam mana coraknya, hargailah ia. Pastikan HIKMAH yang terkandung dapat digali menjadi PELAJARAN berguna buat diri dan juga generasi masa depan.
2. Berlapang dadalah dengan KEKURANGAN kerana kebanyakan orang yang BERJAYA adalah orang yang pada mulanya KURANG tapi BERUSAHA sehingga menjadi CUKUP dan LEBIH dari orang lain.
3. Didikan anak yang paling tertinggi ialah bila kita boleh kaitkan belajar dengan perintah ugama. Anak belajar bukan kerana Ibu dan Ayah saja.. Bahkan! Ia belajar kerana dia sayang UGAMA. Jadi, sebelum membesar-besarkan kerunsingan karenah anak akan prestasi belajarnya.. Ada baiknya teropong dulu prestasi ugamanya. Bila ugama besar dihatinya, Insya Allah mudahlah juga akan perkara-perkara yang lain.
2 comments:
memoir anak pesawah = memoir anak pemandu bas mini
Salam buat NFO bukan UFO..
-Memoir kita mungkin ada persamaan..
"KRONOLOGI CERITA yang SAMA cuma beza pada situasi PENTAS dan DETIK lakonan masa.."
P/s-Selamat menyambut FAMILY yg bertandang di bumi Semenanjung Malaysia.. Kalau ada masa, bawalah mereka ke negeri selatan pula.. :)
Post a Comment